HomeUtamaSPRM geledah tiga "safe house" dipercayai lokasi penyimpanan hasil wang suapan

SPRM geledah tiga “safe house” dipercayai lokasi penyimpanan hasil wang suapan

Read Time:1 Minute, 58 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menggeledah dua lagi “safe house” dipercayai lokasi menyimpan hasil wang suapan pada malam Ahad.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki selepas satu safe house di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur digeledah oleh SPRM dan menemui wang tunai berjumlah SGD1,529,000 atau RM5 juta pada malam Sabtu.

“Dua lokasi safe house yang digeledah pada malam Ahad itu salah satu daripadanya ada penemuan matawang asing lebih kurang dalam SGD74,000 atau RM243,000. Kemudian di satu tempat pejabat, dijumpai wang lebih kurang RM78,000.

“Kita juga mendapat maklumat, ada wang telah dilaburkan di Singapura, yang itu saya tak boleh dedahkan berapa jumlahnya dan siapa pemiliknya,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Isnin.

Menurut Azam, selepas ini akan ada lagi penemuan-penemuan di safe house lain.

“Ini kita masih lagi menjalankan siasatan dan juga risikan terhadap penyimpanan wang ini dan mungkin ada dibuat penyimpanan di bank-bank lain, yang ini sedang kita siasat,” ujarnya.

Susulan dari pengeledahan tiga safe house itu, Azam berkata, SPRM telah menahan reman empat individu termasuk seorang wanita berumur antara 43 hingga 46 tahun.

Beliau juga tidak menafikan dakwaan mengaitkan seorang ahli politik antara yang akan dipanggil untuk memberikan keterangan terhadap penemuan wang tunai di safe house tersebut.

“Ya, salah satu daripada itu saya tak nafikan. Memang ada dikaitkan dengan seorang ahli politik yang ternama. Tapi saya tak boleh dedahkan nama ahli politik itu.

“Dia akan dipanggil pada satu masa yang difikirkan sesuai oleh penyiasat saya, seperti mana lazimnya, kami perlu mendapatkan segala bukti-bukti yang kita rasa wajar yang telah kita perlukan dan telah disahkan, barulah orang yang berkenaan akan dipanggil.

“Saya memang tidak akan menolak atau menafikan, beliau akan dipanggil tapi selepas kami ataupun pegawai penyiasat saya berpuas hati tentang beberapa lagi penemuan dokumen dan juga wang yang berkaitan,” jelas beliau.

Azam turut memaklumkan dalam kes tersebut, seramai 15 saksi telah dipanggil dan beliau menjangkakan akan ramai lagi saksi yang akan dipanggil untuk penyiasatan.

“Kes ini akan dibuka juga kertas-kertas siasatan yang di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, selain Akta Pencegahan Rasuah 2009 yang di bawah Seksyen 16, kami juga akan membuka beberapa kertas-kertas siasatan yang dibawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Keganasan 2001,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

ADUN Kiulu wujud Tabung Keusahawanan & Kepimpinan Belia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular