HomeUtamaBelanjawan negara akan terus fokus kepada pembangunan luar bandar Sabah

Belanjawan negara akan terus fokus kepada pembangunan luar bandar Sabah

Read Time:1 Minute, 34 Second

Kota Kinabalu: Sabah dijangka terus menerima peruntukan untuk pembangunan luar bandar menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan untuk pembangunan luar bandar di Sabah itu adalah bagi merapatkan jurang antara luar bandar dan bandar serta menambah baik kemudahan asas, khususnya dalam menangani isu berkaitan sekolah dan klinik daif.

“Bagi tujuan ini, tumpuan akan diberikan untuk memastikan akses penuh kepada kemudahan asas, khususnya jalan raya, bekalan air bersih terawat dan bekalan elektrik,” katanya pada mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu di sini hari ini 

Hajiji berkata, pada masa yang sama, kerajaan akan terus menumpukan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya, ia merangkumi penyediaan perlindungan sosial untuk semua lapisan masyarakat, pekerjaan dengan gaji yang lebih baik serta langkah dan dasar yang akan menyaksikan pengagihan kekayaan negara secara adil.

Beliau berkata, kerajaan optimis Belanjawan Negara 2025 akan membawa Malaysia lebih dekat untuk merealisasikan Ekonomi MADANI dengan kerjasama semua rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini di Parlimen adalah kerangka hala tuju jangka panjang ekonomi Malaysia yang bertujuan meningkatkan siling potensi ekonomi negara dan tahap kualiti kehidupan rakyat selaras dengan temanya “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera.”

Beliau turut menyeru semua agensi dan jabatan menilai prestasi masing-masing sepanjang tempoh suku ketiga tahun ini.

“Agensi dan jabatan di Sabah perlu berupaya meneroka peluang untuk meningkatkan prestasi projek pembangunan negeri,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut mengulangi bahawa projek pembangunan Persekutuan seperti sekolah dan klinik boleh dilaksanakan tanpa menunggu hak milik tanah dikeluarkan selagi tanah itu telah diwartakan untuk tujuan berkenaan.

“Sekiranya tanah diperlukan untuk membina sekolah dan klinik, kerajaan negeri akan memudahkan bagi mengelak sebarang kelewatan dalam pelaksanaan projek,” katanya.

Menurutnya lagi, penglibatan dan kerjasama antara kerajaan negeri dan agensi Persekutuan di Sabah perlu diperkukuh untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular