HomeIsu tempatanSeminar STEM platform pertukaran akademik

Seminar STEM platform pertukaran akademik

Read Time:1 Minute, 49 Second

Kota Kinabalu :  Seminar Sains, Teknologi , Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) Kali ke-4 anjuran Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu menjadi wadah perkongsian akademik dalam usaha mengembangkan bidang STEM.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, usaha itu penting kerana bidang STEM dilihat merupakan teras utama dalam menyelesaikan sesebuah masalah pada masa hadapan.

“Seminar STEM ini tidak hanya sebagai platform untuk pertukaran akademik, tetapi juga adalah ruang dalam meletakkan asas untuk inovasi masa depan yang boleh mengubah industri, masyarakat dan ekonomi.

“Justeru, ini merupakan peluang kita untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar, untuk menyumbang kepada perbincangan yang akan membentuk masa depan sains dan teknologi, dan mencabar diri untuk berfikir secara kritis mengenai pelbagai isu semasa dunia hari ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian seminar tersebut di PPST UMS. 

Kasim menambah, UMS sentiasa komited dalam mengembangkan ilmu yang bukan sahaja inovatif tetapi memberi impak

“Universiti ini telah berkembang  menjadi sebuah institusi terkemuka bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini, dengan program penyelidikan dan akademik bagi menangani cabaran global dalam bidang seperti biodiversiti, sains marin dan tenaga boleh diperbaharui.

“Pertukaran idea, penyelidikan yang dibentangkan dan kerjasama yang dibentuk akan menyumbang kepada ekosistem pengetahuan memacu inovasi yang memacu inovasi, meningkatkan kehidupan dan mencipta perubahan jangka panjang.

“Melalui inisiatif ini, kita dapat memperkasakan pelajar dan penyelidik untuk bergerak melangkaui sempadan”, katanya lagi.

Terdahulu, Pengarah PPST, ChM. Dr. Newati Wid dalam ucapannya berkata penganjuran seminar STEM yang bertemakan “Memperkasakan Idea Untuk Hari Esok Yang Lebih Baik” tepat pada masanya dan penting dalam membincangkan cabaran dan peluang yang semakin berkembang yang ditawarkan dalam bidang STEM. 

“Format penganjuran seminar ini secara maya juga membolehkan pelbagai pihak untuk berhubung merentasi sempadan serta menyediakan ruang yang inklusif untuk pertukaran pengetahuan. 

“Harapan saya agar seminar ini akan menjadi pemangkin kepada perbincangan menyeluruh, penyelidikan inovatif, dan perkongsian merentasi sempadan,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly;  Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof; dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin. 

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular