Tuaran: Rakyat di negeri ini perlu sentiasa mencontohi perilaku Nabi Muhammad SAW dalam mengekalkan keharmonian antara masyarakat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, rakyat harus terus menjaga keharmonian pelbagai kaum dan agama di negara ini dengan mencontohi Nabi Muhammad SAW dalam segala perilaku dan usahanya menjaga hubungan antara umat Islam dan bukan Islam.
“Budi pekerti Rasulullah ini juga memberi pengajaran bahawa umat Islam mestilah mengikis sikap mudah selesa, mudah berpuas hati dengan pencapaian yang ada, sebaliknya perlu sentiasa bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.
“Justeru, saya mahu rakyat agar bersama-sama kerajaan dengan memainkan peranan masing -masing terutama sekali dalam membantu menjayakan setiap agenda pembangunan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Tuaran Tahun 1446 Hijriah/ 2024M di Dewan Seri Sulaman di sini hari ini.
Hajiji berkata, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan bukan sekadar untuk memperingati dan meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW semata-mata, sebaliknya merupakan wadah untuk mengikis mentaliti cepat puas hati dan membebaskan diri daripada perangkap zon selesa terutama sekali di kalangan anak-anak muda dan belia.
Katanya, semangat Maulidur Rasul perlu terus disemarakkan dan disemai dalam jiwa setiap umat Islam sebagai bukti ketulusan cinta terhadap Rasululullah SAW.
“Saya ingin mengajak kita semua untuk merenung kembali perjalanan hidup Rasulullah SAW, yang penuh dengan pengajaran dan hikmah. Baginda bukan sahaja seorang rasul, tetapi juga seorang pemimpin, pendidik dan contoh teladan yang agung,” katanya.
Menurutnya, kejayaan sesebuah negara tidak dicapai dalam sehari, tetapi melalui usaha yang berterusan dan komitmen semua pihak dari kepimpinan yang berwawasan hingga kepada penglibatan aktif rakyat.
Katanya, setiap elemen memainkan peranan penting dalam memacu kejayaan negeri dan negara. Dengan menggabungkan kekuatan pelbagai aspek, sesebuah negara boleh mencapai kejayaan yang mampan, menyeluruh bagi memastikan kesejahteraan serta kemakmuran rakyat dapat dicapai.
“Semoga sambutan Maulidul Rasul ini menjadi titik tolak bagi kita untuk terus memperkukuhkan integriti, etika, dan kemajuan dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Marilah kita bersama-sama mengambil iktibar daripada ajaran dan kehidupan Rasulullah SAW untuk terus maju dan berdaya saing dalam mengangkat martabat umat, negeri dan negara kita”, katanya. – SABAH MEDIA