HomeUtamaForum CMLGF BIMP-EAGA perkukuh kerjasama pembangunan antara negara anggota

Forum CMLGF BIMP-EAGA perkukuh kerjasama pembangunan antara negara anggota

Read Time:1 Minute, 24 Second

Kota Kinabalu:  Forum Ketua Menteri, Gabenor dan Kerajaan Tempatan (CMLGF) Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) kali keenam memperkukuh kerjasama pembangunan antara negara anggota.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata,  pihaknya menekankan kepentingan menggerakkan pelaburan sektor swasta untuk merangsang kemajuan ekonomi di antara negara-negara anggota.

“Peranan kerajaan di peringkat nasional, negeri, wilayah, dan tempatan pula adalah mewujudkan persekitaran yang kondusif melalui dasar dan infrastruktur yang sesuai bagi kebaikan rantau ini,” katanya ketika mempengerusikan forum itu di sini semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 BIMP-EAGA, sebuah inisiatif yang ditubuhkan pada tahun 1994 yang bertujuan bagi mempercepatkan pembangunan sosioekonomi di kawasan yang kurang maju dan terpencil di empat negara anggota.

“Forum ini diadakan bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dan mengatasi jurang pembangunan yang masih wujud ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar forum tersebut dapat menjadi hab pemerkasaan untuk memperbaiki kualiti hidup masyarakat, terutama di kawasan luar bandar.

“Dengan semangat kerjasama dan setiakawan, sesi ini diharap berpotensi untuk merintis jalan bagi masa depan yang lebih cerah bagi semua negara anggota,” katanya.

Hajiji juga mengalu-alukan kehadiran semua peserta ke Sabah, yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan destinasi pelancongan yang menarik.

Seramai 200 orang peserta menghadiri forum tersebut yang turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Pemangku Pengerusi Perbandaran Bandar Seri Begawan Kementerian Dalam Negara Brunei Darussalam Sharinah Awang Suhaimi; Pemangku Gabenor Provinsi Gorontalo Republik Indonesia, Dr. Ir. Mohammad Rudy Salahuddin dan Pengarah IV Pejabat Promosi Pelaburan dan Hal Ehwal Awam Pihak Berkuasa Pembangunan Mindanao Filipina, Rodrigo Giducos.

RELATED ARTICLES
Utama

FCDO  jamin teliti permintaan Sabah tarik semula larangan perjalanan ke Pantai...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular