HomeUtamaPembukaan HATC beri tambahan hasil kutipan pendakian ke Gunung Kinabalu

Pembukaan HATC beri tambahan hasil kutipan pendakian ke Gunung Kinabalu

Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kundasang : Pembukaan Pusat Latihan Pendakian Aras Tinggi Gunung Kinabalu (HATC-Mt. Kinabalu) yang melibatkan pendakian empat puncak di ketinggian melebihi 3,900 meter dijangka akan memberi tambahan peningkatan hasil kutipan pendakian ke gunung berkenaan.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) Peter Lebar @ Lintar berkata, jumlah pendaki Gunung Kinabalu pada tahun lalu adalah seramai 47,212 orang dengan hasil kutipan sebanyak RM 9.5 juta. 

Katanya, HATC-Mt. Kinabalu akan memberi peningkatan hasil kutipan kira-kira  lebih RM 5 juta setahun. 

“Malim Gunung dan Poter akan memperolehi limpahan pendapatan sebanyak lebih kurang 20 peratus daripada hasil tambahan ini sebagai bayaran perkhidmatan yang diberikan.

“Peningkatan jumlah pendaki Gunung dan  hasil kutipan taman ini sudah tentu akan memberikan tanggungjawab dan cabaran yang berat kepada pengurusan TTS. 

“Justeru itu, TTS telah membangunkan  Prosedur Operasi Piawaian (SOP) Latihan Pendakian Aras Tinggi Gunung Kinabalu untuk dilaksanakan bermula pada hari ini,” katanya ketika berucap melancarkan HATC-Mt. Kinabalu di sini hari ini.

Peter berkata, ini termasuklah mewajibkan semua pendaki aras tinggi membuat pemeriksaan kesihatan sebelum mendaki, menetapkan tugas dan tanggungjawab Pasukan Penyelamat Gunung ‘High Altitude Search & Rescue Team’ bersama Pasukan Bantuan Penyelamat BOMBA  MoSAR, Malim Gunung dan Porter.

Katanya, ia termasuklah melatih dan menghantar  Pegawai Taman dan anggota penyelamat Gunung ke Latihan Pendakian Aras Tinggi di luar negara termasuk ke pendakian Gunung Everest pada masa akan datang.

“Salah satu keistimewaan pusat ini adalah faktor jarak dengan pintu masuk antarabangsa iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) ke Taman Kinabalu, yang hanya mengambil masa tidak melebihi tiga jam perjalanan menggunakan kenderaan. 

“Saya dimaklumkan, pendakian ke Everest Base Camp (EBC) Himalaya, dengan ketinggian 5,364 meter mengambil tempoh masa 14 hari  dan di Gunung Kilimanjaro, Tanzania dengan ketinggian 5,895 meter mengambil masa tujuh hari dengan jarak pendakian lebih kurang 35 kilometer,” katanya.

Dalam pada itu, Peter berkata, penubuhan dan pengoperasian pusat itu dilihat memberi cabaran dan tanggungjawab yang lebih besar kepada pengurusan TTS, Jabatan dan agensi-agensi penyelamat yang terlibat khususnya dari segi keselamatan pendaki yang mengalami kemalangan. 

Katanya, sebanyak 88 kes kemalangan pendaki direkodkan pada tahun lalu.

“Dari jumlah itu, sebanyak 26 kes kemalangan melibatkan penyelamatan penuh iaitu pendaki diusung. Manakala, sembilan kes kemalangan pendaki dibawa turun ke bawah dan 53 kes pendaki diberi rawatan awal. 

“Setakat tahun ini, dua kes kematian pendaki di gunung berlaku, disebabkan kesejukan atau ‘hipotermia’,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH PARK

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular