HomeUtamaKerajaan akan bina 3000 Rumah Mesra SMJ tahun hadapan - Hajiji

Kerajaan akan bina 3000 Rumah Mesra SMJ tahun hadapan – Hajiji

Read Time:1 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan meneruskan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) tahun hadapan dengan membina sebanyak 3000 buah rumah dengan kos sebanyak RM250 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program itu bagi membantu rakyat dalam kesusahan dan memerlukan rumah kediaman.

“Insya Allah, pada tahun hadapan, sebanyak 3000 buah rumah seumpamanya akan dibina di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri dengan kos sekitar RM250 juta”, katanya pada Majlis Perasmian Program Madani Rakyat 2024: Sayangi Sabah di Pekarangan Stadium Likas pada Sabtu.

Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hajiji berkata, Ekonomi Biru (Blue Economy) merupakan sumber baharu dalam pembangunan ekonomi negara sebagai tambahan kepada aktiviti ekonomi sedia ada, menjurus kepada penerokaan khazanah laut yang sangat berpotensi untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui serta lain-lain produk yang berkaitan dengannya.

“Ekonomi Biru ini diyakini mampu melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri untuk beberapa dekad mendatang. Sub-sektor ekonomi yang bakal kita terokai secara serius ini adalah suatu pendekatan strategik yang mengutamakan penerokaan dan pemanfaatan sumber laut secara lestari.

“Negeri Sabah kaya dengan khazanah laut yang tidak ternilai, dan potensi ini perlu diterokai dengan bijaksana agar sumber ekonomi negeri dapat terus berkembang sambil kita menjaga dan memelihara eko-sistem laut negeri ini yang kaya dengan pelbagai khazanahnya”, katanya.

Beliau berkata, Program Madani Rakyat yang tercetus dari Gagasan Malaysia Madani adalah usaha kerajaan untuk memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat, meliputi beberapa inisiatif ke arah membantu mengurangkan beban hidup golongan kurang bernasib baik, termasuk program menoktahkan miskin tegar di dalam negara.

Katanya, Sabah dipilih sebagai lokasi penutup Program Madani Rakyat 2024 setelah ianya dilaksanakan secara jelajah di 5 buah zon seluruh negara.

Menurutnya, program mega seperti ini bukan sahaja mampu menyatukan pemimpin dengan rakyat, malah membuka ruang dan peluang untuk rakyat memahami dasardasar Kerajaan dan segala program pembangunan, disamping memanfaatkan pelbagai kemudahan yang disediakan untuk rakyat jelata dan golongan akar umbi.

“Semua yang terdapat di dalam program ini adalah berasaskan kepada keperluan rakyat yang meliputi pelbagai bidang dan sektor yang menjurus kepada pembangunan dan kesejahteraan.

“Program murni ini berpaksikan kepada keperluan dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan, selaras dengan objektifnya yang antara lain untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar-dasar dan inisiatif baharu yang disediakan untuk rakyat, serta meningkatkan pemahaman dan kesedaran umum terhadap hala tuju dan dasar-dasar pembangunan kerajaan”, jelasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular