HomeUtamaPenyasaran subsidi petrol tidak beri kesan kepada 85 peratus rakyat

Penyasaran subsidi petrol tidak beri kesan kepada 85 peratus rakyat

Read Time:1 Minute, 50 Second

Oleh ERDIE AB WAHID / NORMIMIE DIUN

Kota Kinabalu : Cadangan penyasaran subsidi petrol RON95 yang dijangka dilaksanakan mulai pertengahan tahun depan tidak akan memberi kesan kepada 85 peratus rakyat di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyasaran itu lebih tertumpu kepada usaha untuk menghentikan 40 peratus bahan api bersubsidi yang dinikmati golongan T15 dan warga asing.

Berikutan itu katanya, rakyat biasa di negara ini tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan cadangan itu kerana mereka kekal menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM2.05 seliter.

“Petrol di Malaysia paling murah, bukan sahaja banding dengan Singapura, Thailand. Indonesia dan Filipina, malah Arab Saudi. Di Arab Saudi harga seliter di sana ialah RM2.65, berbanding Malaysia RM2.05.

“Sekarang kita bantu dengan subsidi, berapa subsidi? Satu tahun kalau kita tak tukar RM20 bilion subsidi ini maknanya apa? Kerajaan bantu supaya harga tidak naik.  Sepatutnya kepada siapa? Kepada rakyat susah.

“Tapi sekarang ini subsidi petrol ini termasuk kepada warga asing, yang tiada kad pengenalan pun kita bantu (subsidi), orang kaya rumah banglo lima buah, untung RM10 juta tapi subsidi petrol kita bagi.

“Jadi, golongan T15 yang paling kaya, campur dengan orang asing, mereka ini menggunakan 40 peratus petrol bersubsidi bernilai RM8 bilion setahun,” katanya ketika merasmikan Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah, di Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Anwar berkata, 40 peratus RON95 digunakan golongan kaya dan warga asing menunjukkan kerajaan bermurah hati dengan luar biasa.

“Istilah lainnya ialah kerajaan kurang cerdik. Sebab itu kita kena fikir bagaimana untuk ubah, ubah kepada siapa? Tidak kepada rakyat biasa, jadi jangan bimbang 85 peratus rakyat kekal, maknanya sebahagian besar rakyat masih menikmati harga RM2.05 seliter,” katanya.

Program bermula semalam hingga esok itu dianjurkan menerusi kolaborasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KPMKR) dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri

Sabah adalah lokasi terakhir penganjuran Program Madani Rakyat 2024 selepas Zon Tengah di Selangor, Zon Utara di Pulau Pinang, Zon Timur di Pahang, Zon Selatan di Johor dan Zon Sarawak baru-baru ini. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN

RELATED ARTICLES
Utama

Laluan berhampiran Menara Kinabalu ditutup sebahagian 31 Disember ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular