HomeIsu tempatanMaritim Malaysia tahan bot pukat tunda, rampas 700kg hasil laut

Maritim Malaysia tahan bot pukat tunda, rampas 700kg hasil laut

Read Time:1 Minute, 25 Second

Kota Kinabalu:  Sebuah bot pukat tunda bersama sembilan nelayan ditahan di kedudukan 1.2 batu nautika Barat Laut Tanjung Kunit, Pulau Usukan, Kota Belud pada Isnin.

Kru termasuk tekong warga asing berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan kurang dari tiga batu nautika.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, penahanan bot itu hasil pemantauan berterusan dan laporan yang diterima daripada Pusat Pengawasan Laut Maritim Negeri Sabah (SWASLA).

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut telah melanggar syarat sah lesen kerana menunda di bawah tiga batu nautika.

“Pemeriksaan seterusnya mendapati juragan bersama lapan orang awak-awak warganegara Indonesia turut melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti menangkap ikan jarak kurang dari 12 batu nautika seperti yang dibenarkan dalam syarat sah lesen.

“Bot beserta ikan campur yang dianggarkan lebih kurang 700kg telah ditahan bersama- sama kru bot seterusnya diiring ke Jeti Maritim Malaysia, Sepanggar untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.6 juta,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Suhaimi berkata, SWASLA sering memantau kawasan tumpuan di mana aktiviti ini sering dilakukan oleh bot-bot nelayan yang ingkar dan telah mengabaikan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Katanya, bagi mengekang aktiviti ini daripada berleluasa, beliau menyeru kepada orang awam terutamanya komuniti maritim untuk terus menyalurkan sebarang maklumat sekiranya terdapat apa-apa aktiviti yang mencurigakan melalui saluran yang betul untuk tindakan segera.

“Sebarang maklumat dan aduan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri  Sabah  di talian 088-270165 atau  talian kecemasan 999  bagi maklumbalas segera,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Pertandingan seni suara murai terima penyertaan membanggakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular