HomeUtamaKerajaan beri perhatian terhadap bahasa dan sastera

Kerajaan beri perhatian terhadap bahasa dan sastera

Read Time:1 Minute, 47 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah sentiasa memberi perhatian terhadap bahasa dan sastera di negeri ini kerana ia merupakan satu elemen yang mampu membentuk peribadi, dan ketamadunan bangsa bagi melahirkan bangsa yang bercitra dan beracuan sendiri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam usaha menguasai seberapa banyak bahasa, namun pemartabatan bahasa kebangsaan tidak harus diketepikan atau diperlekeh.

“Saya berharap rakyat akan terus mengutamakan bahasa kebangsaan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk paparan di tempat awam, komunikasi dan dokumentasi di institusi kewangan, perbankan, iklan, pasar raya, projek-projek pembangunan, projek komersial, taman perumahan, institusi pendidikan dan sektor kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd.Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, DBP Cawangan Sabah melalui projek kosa kata bahasa sukuan telah berjaya mengetengahkan beberapa kosa kata sukuan negeri ini dan dirakamkan sebagai salah satu entri di dalam Kamus Dewan.

Menurutnya, antaranya kata ‘kerop’ daripada bahasa Kadazan yang membawa maksud bulu mata palsu dan ‘meridap’ daripada bahasa Bajau untuk maksud tidur atau lelap sekejap.

“Kita berasa bangga kerana turut sama menyumbang ke arah memperkasa kosa kata bahasa kebangsaan.

“Masih banyak kosa kata etnik yang boleh diketengahkan lagi memandangkan Sabah mempunyai 35 etnik dan 217 sub-etnik yang berkomunikasi dalam lebih daripada 50 bahasa,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berharap lebih banyak usaha dilakukan untuk mengetengahkan kosa kata sukuan daripada etnik lain di negeri ini untuk dimasukkan sebagai salah satu entri di dalam Kamus Dewan.

Katanya, Bulan Bahasa Kebangsaan merupakan usaha kerajaan untuk menyemarakkan rasa cinta masyarakat terhadap bahasa kebangsaan melalui pelbagai program yang dirancangkan.

Menurutnya, memperkasakan bahasa kebangsaan juga bermakna mendukung Perlembagaan Negara yang memaktubkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Sementara itu, Hajiji berkata, program itu juga platform untuk mendidik masyarakat berbilang bangsa agar dapat dihayati seterusnya memartabatkan bahasa kebangsaan yang sejak sekian lama telah berperanan penting sebagai bahasa ilmu, bahasa pengantar pendidikan, bahasa perpaduan dan bahasa kemajuan bangsa serta tonggak pembinaan negara bangsa. – SABAH MEDIA/ FOTO JAPEN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

Sandakan tuan rumah Jambori Pengakap 3 hari

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular