HomeUtamaSabah destinasi pengeluar produk berasaskan tenaga diperbaharui

Sabah destinasi pengeluar produk berasaskan tenaga diperbaharui

Read Time:1 Minute, 24 Second

Kota Kinabalu : Agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan Kerajaan Sabah terus diyakini pelabur dengan menjadikan Sabah sebagai destinasi pengeluar produk yang berasaskan tenaga diperbaharui atau tenaga hijau.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia menjadi fokus Kerajaan negeri bagi membina tenaga boleh baharu daripada solar dan hidroelektrik.

Katanya, pada penghujung tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan pecah tanah projek hidroelektrik di Ulu Padas, Tenom dan ia akan siap menjelang 2029 nanti.

“Ia bersama dengan empangannya yang boleh menyalur air sebanyak 6,000 juta liter sehari untuk jangka masa panjang, antara 80 hingga 100 tahun. Selain tenaga elektrik, ia boleh menyelesaikan masalah air di Sipitang, Tenom, Beaufort, Kimanis, Putatan dan terus ke Kota Kinabalu.

“Kalau projek ini sudah siap, kita tidak punya masalah lagi mengenai air dan elektrik,” katanya dalam laporan temu bual bersama MalaysiaGazette di pejabatnya di Menara Kinabalu baru-baru ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata,  Kerajaan Negeri Sabah juga mempunyai satu lagi projek baharu iaitu Ekonomi Biru di mana tenaga diperbaharui itu boleh dihasilkan daripada laut perairan negara.

“Ia bukan semata-mata mengenai ikan tetapi ada 10 industri yang boleh kita dapati daripada lautan kita termasuk Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC). Kita boleh mengeluarkan 75 peratus sektor ini daripada laut.

“Kalau ini dapat kita lakukan dalam lima tahun akan datang, kita boleh mengeluarkan 20,000 megawatt (elektrik) daripada lautan kita, haba laut yang panas dengan haba laut yang sejuk, ini sudah dikaji oleh juru perunding kita.

“Malah kita berusaha untuk membuat hubungan kerana Jepun sudah ada, Korea dan negara di Amerika Syarikat dan Eropah, ini antara masa depan Sabah nanti, sumber baharu kepada Sabah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tanah runtuh, pokok tumbang di laluan pendakian Gunung Kinabalu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular