Sandakan : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu bekalan serta memanipulasi harga telur ayam yang dikawal pada masa ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Sabdajab Azdy Zukkry John berkata, peniaga di daerah ini adalah dinasihatkan supaya mematuhi arahan pematuhan harga runcit telur ayam gred A, B dan C.
Katanya, ini berikutan Kerajaan telah mewajibkan semua peniaga yang menjual barangan harga terkawal iaitu telur ayam gred A, B dan C supaya tidak menjualnya melebihi daripada harga maksimum yang telah ditetapkan.
“Ia termasuklah meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bertujuan untuk membezakannya dengan barangan lain serta mempamerkan dengan jelas tanda harga ke atas semua barangan yang dijual.
“KPDN Sandakan telah mengambil tindakan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di beberapa pembekal utama telur ayam kawalan dan bukan kawalan termasuklah di pasar raya tumpuan utama pengguna khususnya di daerah Sandakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pihak pembekal membuat penghantaran seperti biasa untuk telur ayam kawalan dan bukan kawalan pada setiap hari kecuali hari Ahad ke premis-premis perniagaan serta pasar raya- pasar raya tumpuan utama pengguna di sekitar daerah Sandakan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Azdy berkata, telur ayam gred A, B dan C adalah dikawal harganya di peringkat Ladang, Borong dan Runcit berkuat kuasa pada 17 Jun lalu.
Katanya, harga telur ayam di peringkat runcit bagi gred A adalah RM0.48 sen sebiji, gred B berharga RM0.47 sen sebiji dan gred C adalah RM0.46 sen sebiji di daerah Sandakan.
“Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan di salah sebuah premis pembekal telur ayam di daerah Sandakan, jumlah keseluruhan stok semasa telur ayam gred A, B dan C untuk edaran adalah sebanyak 94,950 biji manakala jumlah telur ayam bukan kawalan adalah sebanyak 126,990 biji.
“KPDN Sandakan akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan pada setiap hari di setiap rantaian pengedaran iaitu di peringkat ladang, pemborong dan peruncit bagi memastikan tidak berlakunya gangguan bekalan terutamanya terhadap telur ayam yang dikawal (gred A, B dan C).
“Sejak 1 Januari 2024 hingga kini, KPDN Cawangan Sandakan juga tidak ada menerima sebarang aduan rasmi berkenaan dengan bekalan dan harga telur ayam di daerah Sandakan,” katanya – SABAH MEDIA