HomeUtamaMalaysia Kecam Serangan Israel ke Atas Iran, Seru Hentikan Permusuhan

Malaysia Kecam Serangan Israel ke Atas Iran, Seru Hentikan Permusuhan

Read Time:1 Minute, 1 Second

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang dilancarkan oleh rejim Zionis Israel ke atas beberapa kawasan di Iran, termasuk Tehran, Karaj, Kashan, Mashhad, dan Shiraz, pada awal pagi Sabtu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Malaysia menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan ancaman serius kepada kestabilan serantau.

Kenyataan tersebut menekankan bahawa tindakan agresif Israel yang berterusan tanpa sebarang tindakan balas antarabangsa hanya akan memperburuk kestabilan di Timur Tengah dan meletakkan rantau itu dalam bahaya konflik yang lebih besar.

Wisma Putra turut menggesa semua pihak supaya segera menghentikan tindakan permusuhan dan memutuskan kitaran keganasan demi keselamatan rantau tersebut.

Wisma Putra juga mengesahkan bahawa Kedutaan Malaysia di Tehran sedang memantau situasi terkini dengan teliti dan tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terjejas dalam serangan ini.

Semua rakyat Malaysia yang berada di Iran diingatkan agar bertenang, berhati-hati, serta mengikuti panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Bagi mereka yang memerlukan bantuan konsular, Kedutaan Malaysia di Tehran boleh dihubungi di alamat berikut: No. 25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb, Tehran, atau melalui talian telefon di +9821 8807 2444 dan +9821 8807 8606. Rakyat Malaysia juga boleh menghubungi kedutaan melalui e-mel di [email protected].

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji hadir Program Santai Rohani Anak Muda Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular