HomeIsu tempatanUMS iktiraf sumbangan universiti, industri dalam kebolehpasaran graduan

UMS iktiraf sumbangan universiti, industri dalam kebolehpasaran graduan

Read Time:1 Minute, 48 Second

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengiktiraf sumbangan fakulti dan pihak pengurusan universiti bersama industri dalam meningkatkan kebolehpasaran graduannya. 

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata dunia pekerjaan menuntut graduan untuk memiliki pengetahuan akademik yang kukuh serta kemahiran insaniah, kemahiran komunikasi dan daya saing yang tinggi. 

Katanya peranan universiti bukan sahaja mempersiapkan pelajar untuk memperoleh ijazah tetapi juga bersedia menjadi tenaga kerja yang berkualiti, berinovasi dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran di dunia pekerjaan.

“Majlis ini juga adalah bukti komitmen pihak universiti dalam melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri dan mampu bersaing di peringkat global.

“Saya percaya, usaha seperti kerjasama dengan industri, latihan amali, serta program-program pembangunan bakat yang dilaksanakan oleh universiti telah memberi impak yang besar terhadap kebolehpasaran graduan kita,” katanya.

Tambah Kasim, UMS telah mencatatkan pencapaian membanggakan dengan kadar kebolehpasaran graduan mencapai 98.5 peratus pada tahun 2023, peningkatan 0.2 peratus berbanding pada tahun 2022. 

“Pencapaian ini adalah hasil usaha berterusan semua pihak yang terlibat dalam memperkasakan graduan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kebolehpasaran Graduan (MAGE) 2024 UMS anjuran Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar UMS yang berlangsung baru-baru ini.

Penganjuran MAGE buat julung kalinya telah menyaksikan sembilan fakulti meraih Anugerah Komitmen Cemerlang 2023 iaitu Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Fakulti Sains dan Sumber Alam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif serta Fakulti Perhutanan Tropika. 

Manakala penerima Anugerah Prestasi Gemilang 2023 dianugerahkan kepada Fakulti Pertanian Lestari, Fakulti Komputeran dan Informatik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Pengajian Islam, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Institut Penyelidikan Bioteknologi, Institut Penyelidikan Marin Borneo serta Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan. 

Sementara itu, Anugerah Inspirasi Kebolehpasaran 2023 pula dirangkul oleh Pusat Pengajian Pascasiswazah yang sekaligus membantu universiti dalam pencapaian KPI gaji premium.

Majlis tersebut juga turut meraikan duta Mynext yang terdiri daripada enam pelajar UMS dan 40 orang perunding kerjaya sebagai penghargaan atas komitmen masing-masing.

Kasim turut menzahirkan penghargaan kepada TalentCorp atas sumbangan dana sebanyak RM100,000 bagi menjalankan program-program kebolehpasaran graduan di UMS.  – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 500 buah motorsikal berkuasa tinggi berkonvoi sekitar KK esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular