TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun rentung dalam kejadian kebakaran melibatkan 38 rumah musnah 100 peratus di Kampung Jati, Batu 5, di sini tengah malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.55 tengah malam tadi mengenai kebakaran di lokasi berkenaan.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati satu kebakaran melibatkan 38 buah rumah telah terbakar 100 peratus.
“Seramai 27 anggota dari BBP Tawau bersama enam anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Titingan bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan aliran sumber air terbuka dan tangki jentera.
“Namun seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun telah ditemui rentung dalam kebakaran itu pada jam 4.50 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa kanak-kanak rentung itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi terkawal pada jam 2.28 pagi. Setelah memastikan tidak ada bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 5.59 pagi tadi,” katanya.