HomeIsu tempatanMaritim Malaysia gagalkan cubaan curi 20 batang kayu beruti

Maritim Malaysia gagalkan cubaan curi 20 batang kayu beruti

Read Time:1 Minute, 27 Second

Lahad Datu :  Cubaan sebuah bot pam membawa 20 batang kayu beruti yang dicuri di Perairan Kunak gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu sekitar pukul 5.20 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, dalam operasi yang dilaksanakan pihaknya telah mengesan sebuah bot pam berwarna merah dan tiada nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan di kedudukan lebih kurang 0.7 batu nautika Timur Laut Bandar Kunak.

Katanya, hasil pemeriksaan awal, pasukan Maritim Malaysia menemui 20 batang kayu beruti yang diikat disisi bot yang dikendalikan tiga warga Filipina berumur lingkungan 35 hingga 45 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, bot pam itu melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana kesemua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan melakukan kesalahan di bawah Akta Kanun Keseksaan kerana memiliki kayu beruti disyaki dicuri.

“Hasil soal siasat, difahamkan 20 batang kayu berkenaan dicuri dari kilang dan akan dijual di pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dzulfikhar berkata, bot pam beserta kayu beruti yang dianggarkan bernilai lebih RM5,000 ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim untuk tindakan lanjut.

Katanya, berikutan kes tangkapan tersebut, Zon Maritim Lahad Datu akan meningkatkan rondaan dan pemeriksaan ke atas bot-bot yang berada di perairan ini khususnya yang melakukan aktiviti mencurigakan.

Pihaknya turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang- undang dan akan mengambil tindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukannya.

Sebarang aduan dan makluman mengenai kegiatan jenayah serta insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim, Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi Whatsapp 016-9305727 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

KKFVA, STB capai persetujuan jalin kerjasama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular