HomeUtamaKPDN Sandakan tahan lelaki cuba seleweng lebih 800 liter minyak petrol

KPDN Sandakan tahan lelaki cuba seleweng lebih 800 liter minyak petrol

Read Time:2 Minute, 7 Second

Sandakan : Seorang lelaki berusia 34 tahun berjaya ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan selepas didapati menyeleweng barang kawalan melibatkan minyak bersubsidi di sebuah stesen minyak di Beluran di sini Sabtu lalu.

Dalam operasi yang dijalankan sepasukan penguatkuasa KPDN kira-kira jam 3.40 petang itu mendapati sebanyak lebih 800 liter minyak disyaki petrol RON 95 terkandung di dalam lima tong ‘drum’ berwarna biru kapasiti muatan 200 liter setong.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah
KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata, semua barangan itu telah disita
kerana dipercayai cuba untuk diseleweng membabitkan nilai rampasan berjumlah RM1,832.10.

Katanya, operasi yang dilaksanakan itu adalah menerusi inisiatif gerakan ‘Kita Gempur’ yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Oktober lalu.

“Pemeriksaan awal mendapati seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 34 tahun tidak memiliki sebarang kebenaran atau permit untuk membuat pembelian minyak Petrol RON 95 lebih 800 liter di stesen minyak berkenaan.

“Suspek lelaki terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut dan barang kawalan iaitu minyak petrol lebih 800 liter di dalam lima tong drum terbabit telah disita dan sebuah kenderaan jenis lori kapasiti muatan tiga tan, 19 tong drum yang tidak berisi berwarna biru kapasiti 200 liter satu tong drum yang terdapat di muatan lori terbabit serta resit-resit pembelian minyak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azdy berkata, KPDN Sandakan juga mengambil tindakan menyita lesen barang kawalan dan resit-resit jualan pihak stesen yang terlibat dan siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan dijalankan terhadap suspek lelaki yang ditahan di dalam kes ini dan juga pengusaha stesen minyak terlibat.

Katanya, serbuan ini adalah hasil tindakan penguatkuasaan melalui pemeriksaan khususnya berkaitan dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan di stesen minyak di sekitar daerah Sandakan yang sedang giat dijalankan oleh KPDN Sandakan.

Dalam pada itu, Azdy berkata, para pengusaha stesen minyak khususnya di daerah ini adalah diingatkan agar tidak menjual minyak petrol RON 95 dan diesel bersubsidi kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia. Siasatan dan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan diambil terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati terlibat.

Katanya, KPDN Sandakan akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan khasnya di bawah inisiatif ‘Kita Gempur’ ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi khasnya di daerah Sandakan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang-barang berkenaan.

“Masyarakat pengguna juga adalah digesa untuk bersama-sama menyokong inisiatif ‘Kita Gempur’ dan menjadi sebahagian daripada gerakan massa agar aktiviti yang merugikan rakyat dan negara dapat dibanteras,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular