Sandakan: Sebanyak lapan barangan terpilih akan dikawal harga maksimumnya di peringkat borong dan runcit menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Deepavali 2024.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, pelaksanaan SHMMP akan dilaksanakan selama tujuh hari bermula semalam hingga 3 November ini.
Katanya, barangan terbabit adalah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil (India) termasuk bawang ros, bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).
“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan lain-lain.
“Selain itu, penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada rakan strategik KPDN iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan dan pemain industri,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Azdy berkata, SHMMP Deepavali 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat.
Katanya, harga maksimum yang ditetapkan menerusi skim itu pada peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web KPDN.
“Pegawai penguat kuasa KPDN di daerah ini akan ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan pemeriksaan serta penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika.
“Hasil pemeriksaan kita mendapati peniaga mematuhi harga kawalan musim perayaan Deepavali yang ditetapkan dan premis perniagaan yang diperiksa juga ada menggunakan penandaan harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal yang terlibat dalam SHMMP Deepavali 2024,” katanya.
Dalam pada itu, Azdy berkata, Kerajaan telah mewajibkan semua peniaga yang menjual barangan harga terkawal musim perayaan Deepavali ini supaya tidak menjual melebihi daripada harga maksimum yang telah ditetapkan.
Katanya, para peniaga juga perlu meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi tujuan membezakannya dengan barangan lain serta mempamerkan dengan jelas tanda harga ke atas semua barangan yang dijual.
“Pengguna adalah disarankan untuk membuat aduan mengenai salah laku peniaga menerusi saluran aduan rasmi yang telah disediakan oleh KPDN.
“KPDN Cawangan Sandakan sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan boleh disalurkan menerusi saluran-saluran rasmi aduan, ” katanya. – SABAH MEDIA