HomeUtamaPenerbangan Jeju Air ke Sabah pacu peningkatan ketibaan pelancongan Korea

Penerbangan Jeju Air ke Sabah pacu peningkatan ketibaan pelancongan Korea

Read Time:1 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu : Penerbangan Jeju Air dari Busan ke Kota Kinabalu bakal memacu kepada peningkatan ketibaan pelancong Korea ke negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew berkata, laluan terbaharu syarikat penerbangan itu adalah susulan kejayaan laluan sedia ada dari Incheon ke Kota Kinabalu.

Katanya, laluan itu akan beroperasi enam kali seminggu pada hari Isnin, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu, dan Ahad. 

Menurutnya, Jeju Air kini mengendalikan 13 penerbangan setiap minggu dari Korea Selatan ke Kota Kinabalu.

“Korea Selatan adalah sumber ketibaan antarabangsa ketiga tertinggi bagi Sabah, dengan 124,631 ketibaan pelancong sehingga Ogos tahun ini.

“Bulan-bulan mendatang menandakan musim sejuk di Korea Selatan, dan Sabah boleh menjadi destinasi percutian mereka dengan iklim tropika kita, yang juga merupakan peluang baik bagi peminat golf,” katanya.

Beliau turut yakin bahawa industri pelancongan Sabah akan mendapat manfaat besar daripada penerbangan baharu dari Busan, bandar kedua terbesar di Korea Selatan.

“Perkembangan ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Sabah sebagai destinasi utama dalam kalangan rakyat Korea,” katanya.

Pesawat tersebut, yang membawa 135 penumpang termasuk kru kabin, disambut dengan upacara ‘water salute’ sebagai tanda kunjungan sulungnya kelmarin.

Penerbangan Jeju Air Busan (PUS) – Kota Kinabalu (BKI) berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae pada jam 9 malam dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 1.20 pagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Julinus Jeffery Jimit, berkata penerbangan kerap ini memberi manfaat bersama, menambah fleksibiliti bagi pelancong Korea ke Sabah dan sebaliknya.

“Kota Kinabalu adalah destinasi popular dalam kalangan rakyat Korea. Selain pulau, pantai, dan gunung yang menakjubkan, tarikan semula jadi dan warisan budaya kita yang kaya akan melengkapkan pengalaman pengunjung.

“Ini merupakan peluang baik bagi para pemain industri, seperti hotel dan pengendali pelancongan, untuk mencipta pakej menarik yang berbaloi untuk pengunjung,” katanya 

Sabah kini menerima sejumlah 33 penerbangan setiap minggu dari Busan dan Seoul. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah kekal harmoni dengan keunikan kepelbagaian – Jeffrey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular