KOTA KINABALU: Biro Pembangunan Wanita dan Keluarga telah menganjurkan Program Ziarah Sayang dengan kerjasama Wanita Gagasan Rakyat Bandau.
Program Ziarah Sayang ini telah menziarahi 50 penerima di beberapa buah Kampung Tanjong Batu Darat dan Kampung Komoroko di Kota Marudu pada Ahad.
Program itu diketuai Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda dengan disertai Pengerusi Biro Pembangunan Wanita dan Keluarga Masturah Jamrah, Pengerusi Biro It dan Media, Julia Datuk Ahmad Bahrom Titingan, Pengerusi Biro Pendidikan, Jalilah Ahpiang, Ketua Wanita Likas Halizah Din serta Wanita Gagasan Rakyat Bandau.
Menurut Redonah program tersebut dianjurkan bagi mendekati kumpulan sasar program ini terdiri daripada fakir miskin, orang kurang upaya (OKU), balu dan warga emas.
“Program ini memberi maksud yang cukup baik dengan penganjuran aktiviti ziarah sayang ke rumah-rumah golongan ini,” katanya.
“Program ziarah sayang ini ternyata memberi kesan yang mendalam kepada golongan berkenaan sejajar dengan hasrat kerajaan bagi membentuk masyarakat penyayang,” ujarnya.
Beliau turut berharap program seumpama ini diperbanyakkan lagi pada masa hadapan yang juga mampu mengeratkan hubungan baik antara pemimpin dan rakyat.
“Saya juga menggalakkan mana-mana syarikat milik kerajaan mahu pun syarikat korporat untuk bersama-sama menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik ini,” katanya.
Jelas beliau program ziarah sayang yang dilaksanakan ini adalah merupakan gerak kerja berterusan di seluruh Sabah.
“Bukan sahaja mengunjungi orang yang sakit dan warga emas tetapi menemui ahli keluarga yang juga adalah pengundi,” tambah Redonah.
Program Ziarah Sayang melibatkan 50 keluarga itu, mereka diberikan pemberian barangan keperluan asas.