Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Semua perancangan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah diharap dapat berjalan dengan lancar khususnya dalam pembangunan sukan dan belia di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sebelum ini beliau telah mengadakan lawatan kerja ke pejabat KBS Sabah pada September lalu.
Dalam lawatan kerja itu, beliau telah menerima taklimat berkaitan usaha kementerian untuk terus memajukan aspek sukan dan belia di negeri ini.
“Saya memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memperuntukkan perbelanjaan besar dan konsisten bagi memastikan lebih banyak aktiviti sukan dan belia dapat dijalankan.
“Kita juga akan terus menyediakan prasarana dan teknologi yang moden dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan atlet dan belia untuk berlatih atau bekerja dengan lebih efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian insentif kemenangan atlet bagi Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2024 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin.
Sehubungan itu, Hajiji menyeru semua pihak berkaitan dalam pembangunan sukan termasuk jurulatih, pengurus dan atlet agar sentiasa manfaatkan segala kemudahan yang disediakan untuk meningkatkan pencapaian dalam bidang sukan masing-masing.
“Ini termasuk untuk memastikan kejayaan lebih gemilang, bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di arena antarabangsa.
“Setiap kejayaan yang diperoleh bukanlah penamat perjuangan kita. Sebaliknya, ia adalah titik permulaan bagi kita mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan.
“Ingin saya tegaskan juga, sukan bukan sekadar mengenai pingat dan kemenangan semata-mata, sebaliknya ia melahirkan sifat ketekunan, kerjasama dan integriti.
“Nilai inilah yang sepatutnya tersemat dalam diri atlet. Saya berharap semua pihak akan terus memartabatkan sukan di negeri ini, sekali gus mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa,” katanya. – SABAH MEDIA