Kota Kinabalu: Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) diminta untuk terus mempromosikan teknologi dron sebagai alat penambah produktiviti dan pemantauan projek pembangunan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, teknologi dron telah membantu SEDIA mempercepatkan proses perancangan tanah dan pemantauan alam sekitar selaras dengan objektif pembangunan Negeri.
“Selain itu, SEDIA memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi Sabah melalui Pelan Tindakan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) 2.0.
“Melalui inisiatif ini, SEDIA menyokong pelaburan dalam sektor pertanian, infrastruktur, dan teknologi hijau seiring dengan visi Sabah untuk mencapai pembangunan mampan dan daya saing global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Hari Terbuka Dron Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Teks ucapan beliua dibacakan Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri mahu memperluaskan lagi penggunaan teknologi dron yang kini telah digunakan dalam banyak sektor ekonomi, termasuk pertanian, pelancongan, pembinaan, logistik, dan keselamatan.
“Ia juga telah membantu menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian.
“Oleh itu, saya menyeru kerjasama erat antara kerajaan, industri, penyelidik, dan komuniti untuk menyesuaikan teknologi dron bagi merancakkan ekonomi Sabah,” kata Hajiji, yang juga merupakan Pengerusi SEDIA.
Beliau menegaskan bahawa Sabah tidak seharusnya ketinggalan dalam penggunaan teknologi, dan kemajuan teknologi juga merupakan salah satu keutamaan utama dalam dasar mesra pelabur Negeri. – SABAH MEDIA