Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Pasukan Sepak Takraw Sabah yang menyumbang lima pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak Ogos lalu menerima insentif kemenangan tertinggi berjumlah RM141,600.
Penyampaian insentif kemenangan itu disampaikan Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di sini petang tadi.
Pada temasya itu, pasukan sepak takraw wanita Sabah mencatat kejayaan cemerlang apabila menyapu bersih kesemua empat pingat emas yang dipertandingkan dalam kategori wanita.
Mereka berjaya menguasai semua acara, termasuk berpasukan wanita, beregu wanita, quadrant wanita dan regu wanita.
Selain kejayaan itu, pasukan beregu lelaki Sabah juga menghadiahkan satu emas buat pasukan Sepak Takraw Sabah.
Selain pasukan Sepak Takraw, turut menerima insentif kemenangan adalah pasukan Olahraga berjumlah RM97,000 dan menjadi penyumbang medal terbanyak dengan jumlah keseluruhan medal sebanyak 20 pingat iaitu satu emas, enam perak dan 13 gangsa.
Pasukan Muaythai yang mencipta kejutan pada temasya itu turut menerima insentif kemenangan berjumlah RM83,900 apabila menyumbang lima emas, tiga perak dan dua gangsa.
Sementara itu, pasukan pelayaran menjadi penerima keempat insentif kemenangan tertinggi berjumlah RM77,500; pasukan pencak silat RM73,500; pasukan Karate RM61,500 dan pasukan Wushu RM46,500.

Turut menerima insentif kemenangan adalah pasukan Lawn Bowls berjumlah RM43,000; Renang (RM39,500); Tinju (RM39,000); Bola Sepak (RM39, 000); Petanque (RM31, 000) dan Angkat Berat (RM27, 000).
Selain itu, turut menerima pasukan Gimnastik berjumlah RM25,000; Skuasy (RM19,500); Tenpin Boling (RM16,500); Berbasikal (RM14,000); Taekwando (RM13,000) ; Silambam (RM10,500); Memanah (RM9,000); Judo (RM9,000) dan Menembak berjumlah RM7,000.
Jumlah keseluruhan insentif kemenangan bagi atlet yang bertanding pada temasya SUKMA ke-21 di Sarawak adalah sebanyak RM923,500. – SABAH MEDIA