Oleh NORMIMIE DIUN
KINABATANGAN: Dua maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki dan seorang remaja perempuan manakala empat mengalami kecederaan apabila kenderaan yang dinaiki terlibat dalam kemalangan jalan raya di Batu 32, Bukit Garam dekat sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan PPgB Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.20 petang tadi (30 Okt).
“Sebaik sahaja pasukan bomba dari Balai Bomba Kinabatangan tiba di lokasi kejadian mendapati satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz terbabas sendiri dan terbalik di jalan raya.
“Terdapat enam orang mangsa terlibat dalam kemalangan iaitu empat dilaporkan cedera manakala dua orang mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Menurut Nurul Azlan, difahamkan kesemua mangsa ada hubungan kekeluargaan.
“Pemandu dikenali sebagai Rosli Oongas, 53, membawa lima orang penumpang yang juga merupakan dua anak perempuannya dan tiga orang cucunya.
“Dua mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti seorang anak remaja perempuan pemandu dan seorang cucu kanak-kanak lelaki pemandu berusia 10 tahun.
“Kesemua mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital menggunakan Ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Manakala dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya,” katanya.
Operasi ditamatkan pada jam 7.13 malam setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.