HomeUtamaTujuh sekolah terima bantuan baik pulih Pusat Sumber

Tujuh sekolah terima bantuan baik pulih Pusat Sumber

Read Time:1 Minute, 56 Second

Kota Kinabalu : Tujuh buah sekolah terpilih di negeri ini masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM10,000 bagi meningkatkan kemudahan fasiliti pusat sumber sekolah.

Sumbangan itu disalurkan Konsulat Republik China dengan kerjasama Yayasan Nur Jauhar (YNJ).

Pengerusi YNJ, Datuk Al Hambra Juhar berkata, bantuan tersebut bertujuan untuk membaik pulih dan meningkatkan kemudahan fasiliti pusat sumber sekolah yang daif selepas dikenal pasti oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

“Saya berharap YNJ dan Konsul Negara China dapat terus bekerjasama untuk menyantuni sekolah-sekolah di negeri ini, seperti yang kita tahu banyak sekolah di daerah-daerah amat daif dan memerlukan bantuan.

“Kita tahu, pusat sumber sekolah merupakan bahagian keperluan yang penting untuk pelajar juga guru, insya-Allah di masa akan datang kita akan cuba menyantuni sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan bersama dengan  Konsulat Republik China,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan itu di Dewan Seri Kinabalu, di sini semalam.

Penyerahan bantuan tersebut disampaikan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr. Huang Shifang dan disaksikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin  bersama isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Sementara itu, Pengarah JPNS, Datuk Raisin Saidin berkata, tujuh sekolah tersebut dinilai terlebih dahulu berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh pihak jabatan sebelum menerima bantuan dan berharap program seumpama akan diteruskan.

Pengarah JPNS, Datuk Raisin Saidin

“Saya berharap program ini diteruskan pada masa akan datang dan kita doakan YNJ ini akan terus diberikan rezeki yang luas bersama rakan-rakan strategik seterusnya dapat sama-sama membantu meningkatkan tahap pendidikan di Sabah.

“Semoga sumbangan yang diterima ini dapat digunakan dengan sebaik mungkin bagi tujuan meningkatkan kemudahan pusat sumber sekolah seterusnya menggalakkan anak-anak murid menggunakan pusat sumber dengan baik dengan adanya tambahan bahan-bahan bacaan yang sesuai diletakkan dalam pusat sumber berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr. Huang Shifang berkata, sumbangan tersebut adalah sempena ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Tujuh sekolah yang menerima bantuan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lumagar Papar, SK Sumbiling Papar, SK Mandalipau Papar, SK Palu-Palu Kuala Penyu, SK Tenambak Kuala Penyu, SK Pintas Beaufort dan SK Tahak Beaufort.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular