HomeUtamaTiada larangan masuk ke Kota Belud esok, bas pengantara turut disediakan

Tiada larangan masuk ke Kota Belud esok, bas pengantara turut disediakan

Read Time:1 Minute, 42 Second

Kota Belud : Pengguna kenderaan yang mahu memasuki kawasan Pekan Kota Belud sempena Majlis Perasmian Sambutan Tamu Besar Kota Belud esok masih boleh melalui kawasan berkenaan dan tidak ada sebarang penutupan jalan.

Bagaimanapun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Diyanah Abdullah berkata, ia adalah bergantung kepada keadaan semasa aliran trafik di kawasan pekan mahupun tapak tamu.

Katanya, pihak polis juga telah membuat perancangan rapi untuk mendepani isu kesesakan lalu lintas di lokasi terbabit.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Diyanah Abdullah

“Sebenarnya, tidak ada penutupan jalan, itu sekiranya ada keperluan, bukannya ditutup. Orang ramai masih boleh masuk, tetapi jika semua penuh dan tidak ada ruang, polis terpaksa mengalihkan parkir itu ke tempat yang lain. 

“Polis sudah membuat perancangan laluan-laluan yang boleh sekiranya ada laluan yang terlalu sesak, mereka (Polis) akan alihkan laluan itu kepada yang tidak sesak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memantau Raptai Penuh Majlis Perasmian Sambutan Tamu Besar Kota Belud di sini, semalam.

Diyanah berkata, pihak jawatankuasa juga telah menyediakan bas ulang alik di lima ‘pickup point’ yang telah ditetapkan bagi memudahkan pergerakan masuk ke tapak tamu ataupun di Padang Pekan Kota Belud.

“Bas-bas yang kita sediakan itu adalah sebagai satu pilihan di mana sekiranya mereka tidak mahu bersusah payah ataupun mahu mengelak daripada menghadapi kesesakan lalu lintas, mereka ada pilihan untuk parkir di kawasan-kawasan yang telah ditetapkan.

“Pertama, ia untuk menyenangkan. Keduanya, bas itu disediakan adalah untuk membantu atau memberi kemudahan kepada penduduk atau masyarakat yang tidak mempunyai kenderaan untuk datang ke sini.

“Jadi itulah tujuannya supaya masyarakat dapat sama-sama meraikan sambutan ini,” katanya.

Menurutnya, lima ‘pickup point‘ yang disediakan adalah di Kompleks Sukan Botung, Dewan Kampung Tempasuk 1, Pejabat UPPM N11 Sky Blue Piasau, SMK Pekan 2 dan Pusat Khidmat ADUN Tempasuk.

Semalam, maklumat mengenai larangan kenderaan persendirian masuk ke kawan Pekan Kota Belud tular di media sosial sebelum ditarik semula kurang daripada 24 jam sehingga menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Kali terakhir, sambutan Tamu Besar Kota Belud diadakan pada Oktober 2019 dan terhenti selama empat tahun akibat pandemik Covid-19.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular