HomeUtamaMOTAC hargai elemen warisan, tradisi suku kaum di Malaysia

MOTAC hargai elemen warisan, tradisi suku kaum di Malaysia

Read Time:1 Minute, 40 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Belud : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)  akan sentiasa mengangkat dan menghargai setiap elemen warisan, tradisi, kebudayaan, kesenian serta adat istiadat setiap suku kaum di negara ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pihaknya turut menawarkan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) kepada semua penggiat seni khususnya di peringkat akar umbi dalam melaksanakan program atau acara kebudayaan.

Katanya, ia adalah bagi memastikan ekosistem kesenian dan kebudayaan di negara ini terus kekal berdaya saing.

“Sehubungan dengan itu, MOTAC telah meluluskan sebanyak 64 permohohan dengan jumlah keseluruhan lebih RM2.7 juta bagi Negeri  Sabah pada tahun ini.

“Daripada jumlah tersebut, kira-kira RM400,000 telah diperuntukkan kepada 20 persatuan penggiat seni dari daerah Kota Belud sebagai sokongan kepada usaha memelihara warisan budaya tempatan. Tahun depan, saya harap lagi ramai NGO Sabah akan memohon GSSK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Tamu Besar Kota Belud 2024 di Padang Pekan Kota Belud di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri isterinya Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Khairul berkata,  Tamu Besar Kota Belud amat berpotensi untuk diangkat sebagai salah satu produk pelancongan dan kebudayaan negeri Sabah.

Katanya, penganjuran program ini sejajar dengan usaha memajukan sektor pelancongan setempat menerusi kekayaan warisan budaya masyarakatnya.

“Di sini, pengunjung akan dapat membeli hasil produk kraf tangan tempatan yang unik dan berbeza daripada hasil kraf dari daerah lain di Sabah. Selain itu, pelancong juga berpeluang menikmati keunikan budaya seterusnya  melestarikan kecemerlangan seni, budaya dan warisan kita.

“Saya berharap usaha berterusan ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara terutamanya bersempena dengan kempen Melawat Malaysia 2026.

“Saya berpendirian bahawa dengan adanya kombinasi kebudayaan di dalam pelancongan, ia memberi nilai dan makna yang sungguh mendalam kepada percutian kita. Itulah sebabnya sangat penting untuk kita menggabungkan kedua-dua aspek ini ke dalam satu pakej,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN Sabah

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular