HomeUtamaPihak berkuasa diseru tegas banteras premis daftar & jual tambah nilai judi...

Pihak berkuasa diseru tegas banteras premis daftar & jual tambah nilai judi dalam talian – Razeef

Read Time:2 Minute, 51 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap premis-premis yang memberikan khidmat pendaftaran permainan judi secara dalam talian (online) dan menjual tambah nilai (top up) bagi permainan judi tersebut.

Razeef (dua kanan) bersama AJK Penerangan PKR Sabah semasa sidang media di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Penerangan Keadilan Pusat merangkap Ketua Penerangan Keadilan Sabah, Razeef Rakimin berkata, isu judi online semakin berleluasa terutamanya di kampung-kampung di kawasan pedalaman Sabah.

“Isu permainan judi online dengan hanya menggunakan telefon bimbit, kita tengok sekarang ini, seperti cendawan tumbuh selepas hujan terutamanya di kampung-kampung di kawasan pendalaman.

“Ada premis-premis kecil dibuka untuk pendaftaran dan juga untuk top up judi online ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Razeef pihaknya ada menerima laporan dari penduduk kampung mengenai aktiviti judi online ini melibatkan premis-premis kecil menjual barangan runcit dalam daerah-daerah yang dikenal pasti.

“Sebenarnya isu ini sudah berkali-kali juga dibawa dan dilaporkan kepada pihak berwajib tetapi tidak ada tindakan susulan,” ujarnya.

Pada sidang media sama, Razeef turut memaklumkan ada guru melaporkan kepada beliau terdapat beberapa orang murid di salah sebuah sekolah rendah dekat sini yang tidak mempunyai wang saku dan bekalan makanan ke sekolah.

“Apa yang menyentuh hati saya apabila ada sebuah sekolah, guru sekolah tersebut melaporkan bahawa beberapa murid ini, mereka hadir ke sekolah tanpa belanja sekolah dan tanpa bekalan makanan.

“Bila kita tengok, ibu bapa murid tersebut adalah pekerja sektor kerajaan. Dan bila kita tanya dengan orang-orang kampung, bapa dia terlibat dengan permainan judi online. Jadi, duit banyak habis di sana.

“Selain itu, saya juga terima laporan ada beberapa premis-premis kecil yang digunakan untuk jual barang-barang runcit, tapi sebenarnya menjalankan perniagaan judi online. Mereka top up dan sekarang ini lagi advance, main call (buat panggilan telefon) saja, call ataupun bank in saja untuk mereka top up bila sudah kalah,” jelasnya.

Jelas beliau sasaran utama permainan judi online ini adalah penduduk kampung yang kurang kesedaran mengenai keburukan tabiat berjudi yang boleh membawa kepada banyak kerugian.

“Isu ini perlu diberi kesedaran kepada golongan sasar sebab kebanyakan yang main judi online ini adalah orang-orang miskin yang tidak mampu pergi kasino, tidak mampu pergi pusat-pusat perjudian besar. Jadi mereka main.

“Kalau ikut statistik, lebih 90 peratus orang yang bermain judi ini kalah. Sebab itulah kalau kita tengok pusat-pusat judi ini berkembang pesat sebab mereka setiasa menerima banyak untung.

“Dan oleh kerana kita melihat ketagihan ini sudah melampau, mereka pun (peniaga) ambil kesempatan untuk buka perjudian secara kecil-kecilan secara online melalui telefon bimbit.

“Kalau ikut data juga, kebanyakan individu yang kalah judi online ini sama nilai kekalahan itu dengan pendapatan bulanan golongan miskin tegar. Jadi saya rasa pihak berkuasa sepatutnya lebih tegas menangani isu ini,” tegasnya.

Menurut Razeef lagi, permainan judi online ini bukanlah benda yang baharu tetapi ianya sudah lama dan berkembang sejak 10 tahun yang lalu.

” Judi online, saya rasa sejak 10 tahun lalu pun memang saya sendiri sudah maklum. Saya sendiri sudah dengar bahawa ada kedai-kedai runcit yang buat judi online ini judi online ini kalau dulu anak-anak muda. Anak-anak muda yang malas nak cari kerja hanya berharap bantuan. Jadi akhirnya tidak mendapat keuntungan.

“Isu ini bukan isu baharu, sebab itulah saya lihat permainan judi online ini semakin berleluasa seolah-olah tidak dibanteras malah aktiviti perjudian online ini sudah masuk ke kampung-kampung,” tambah beliau.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular