HomeUtamaLelaki tempatan mati dibunuh, 4 suspek ditahan

Lelaki tempatan mati dibunuh, 4 suspek ditahan

Read Time:1 Minute, 29 Second

LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan maut dipercayai telah dibunuh dengan kesan tikaman di dagu dan tetakan di belakang kepala dalam kejadian di sebuah simpang di Batu 3, Jalan POIC dekat sini pada Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Superintendan Jimmy Panyau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 31 Oktober lalu kira-kira jam 12.34 tengahari daripada seorang wanita menyatakan bahawa suaminya iaitu mangsa yang merupakan seorang warganegara tempatan berumur 51 tahun telah meninggal dunia dipercayai telah dibunuh.

“Bertindak atas laporan yang dibuat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu telah bergegas ke tempat kejadian.

“Siasatan mendapati, kejadian berlaku di sebuah simpang di Batu 3, Jalan POIC, Lahad Datu, kemudian mangsa telah dibawa oleh pengadu ke rumah kediaman di Taman Fajar Lahad Datu untuk tujuan pengebumian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Jimmy, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan tikam di dagu bahagian kanan, kesan tetakan di bahagian belakang kepala dan dahi sebelah kiri serta lebam di dada kanan, bahagian belakang dan pinggang.

“Seterusnya mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya.

Susulan kejadian itu beliau berkata, sehingga kini, pihak polis telah menahan seramai tiga orang lelaki dan seorang wanita yang kini direman di lokap IPD Lahad Datu bagi membantu siasatan pihak polis.

“Dua suspek lelaki dan seorang suspek wanita merupakan isteri mangsa turut ditahan pada hari kejadian pada 31 Oktober lalu manakala seorang lagi suspek lelaki ditahan pada Sabtu (2 Nov),” jelasnya.

Sehubungan dengan itu pihak polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dalam kes ini dan pihak polis sedang menjalankan siastan secara terperinci dari pelbagai sudut secara telus.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular