Kota Kinabalu : Khidmat pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee kekal bersama skuad ‘The Rhinos’ sehingga penghujung musim 2024/2025 yang berakhir pada 30 April 2025.
Perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat khas bersama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan Sabah FC petang tadi.
Presiden SAFA, Datuk Shahelmey Yahya berkata keputusan ini diambil berdasarkan prestasi baik yang ditunjukkan pasukan ketika ini manakala kontrak pengendali Sabah FC itu sepatutnya berakhir pada 30 November ini.
Katanya, khabar gembira ini membolehkan ketua jurulatih itu meneruskan momentum kemenangan dan meningkatkan prestasi terbaik pasukan seterusnya memperbaiki kedudukan di carta liga dan seterusnya menghadapi saingan Piala Malaysia yang dijangka bermula hujung bulan ini.
“Kita menaruh keyakinan tinggi kepada Ong Kim Swee agar dapat memperbaiki kedudukan di carta liga sekali gus lebih bersemangat menghadapi kempen Piala Malaysia pada tahun ini.
“Selain itu, pihak pengurusan juga berharap agar lebih ramai penyokong hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Likas bagi memberikan sokongan untuk menambah semangat dan keyakinan kepada para pemain.
“Ini akan membantu moraliti pemain agar tampil dengan prestasi terbaik dalam baki perlawanan liga super dan Piala Malaysia yang bakal diharungi tidak lama lagi,” katanya. – SABAH MEDIA