HomeUtamaBajet 2025 : Kerajaan Sabah bakal bentang sesuatu yang 'luar dugaan' Jumaat...

Bajet 2025 : Kerajaan Sabah bakal bentang sesuatu yang ‘luar dugaan’ Jumaat depan

Read Time:1 Minute, 57 Second

Oleh SABAH MEDIA TEAM

Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah dijangka membentangkan sesuatu yang ‘luar dugaan’ pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini Jumaat depan.

Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pembentangan Belanjawan itu juga akan memastikan rakyat khususnya golongan B40 dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Saya tidak mahu memberi pengisian lebih lanjut hari ini, sebab ini bukan pembentangan, sekadar saya ingin mengatakan kita (Kerajaan) akan memberi sesuatu yang luar dugaan yang belum pernah dibuat sebelum ini.

“Ini bagi memastikan ianya dapat membantu golongan B40 mengurangkan tekanan kesan kenaikan barang.  Saya tahu banyak lagi bantuan diperlukan rakyat bagi mengekang kos sara hidup melalui bantuan khas daripada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC)  di sini hari ini.

Masidi yang juga Timbalan Presiden Gagasan Rakyat berkata, rakyat juga perlu sedar bahawa masyarakat tidak boleh hanya bergantung pada bantuan kerajaan dan mesti ada usaha daripada rakyat sendiri.

“Pendekatan kita ialah untuk mempermudahkan ekosistem dan infrastruktur yang boleh menggalakkan rakyat kita rajin bekerja. Ada satu budaya kerja dalam bahasa Dusun yang kita namakan ‘Aparu’ yang bermaksud rajin berusaha. Budaya ini penting untuk memastikan semua orang bekerja keras bagi meningkatkan pendapatan mereka. Jika ada tanah, kita buka tanah; jika ada ruang untuk bertani, kita manfaatkan ruang tersebut.

‘Tugas kerajaan adalah untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan budaya ‘Aparu’ dan menyediakan ekosistem serta persekitaran yang memotivasi rakyat untuk berusaha. Selain itu, kita akan mempermudahkan pemasaran hasil keluaran pertanian dan menyediakan infrastruktur seperti jalan raya yang baik bagi memudahkan pergerakan antara daerah,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, Belanjawan 2025 Sabah juga akan turut memberi perhatian kepada dana usahawan, khususnya untuk wanita.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Menteri mengenai dana ini, kerana wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat. Pengalaman menunjukkan bahawa wanita lebih serius dalam pekerjaan dan sangat rajin, terutamanya dalam kempen pilihan raya. 

“Dengan izin dan hormat, saya ingin mengumumkan bahawa butiran penuh mengenai tabung bantuan usahawan khas untuk wanita akan ditubuhkan di Sabah dan ini sudah pasti, akan membantu golongan wanita kita yang ingin berusaha, 

“Terima kasih atas sokongan selama ini dan kita harapkan pengumuman ini akan menyuntik semangat wanita kita untuk bekerja lebih keras dalam memastikan kita kembali berkuasa selepas PRN 17,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan tahap waspada di Sabah, Labuan hari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular