HomeUtamaBanyak pengisian baharu yang menarik sempena Regatta Lepa ke-29

Banyak pengisian baharu yang menarik sempena Regatta Lepa ke-29

Read Time:2 Minute, 58 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pihak penganjur Regatta Lepa harus sentiasa memikirkan sesuatu pengisian yang baharu agar pesta itu sentiasa segar dan lebih menarik di masa akan datang, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Joniston Bangkuai.

Joniston berkata, pesta Regatta Lepa Ke-29 tahun ini sebagai acara tambahan yang baharu, penganjur telah menjemput penyertaan persembahan kebudayaan daripada Tuaran, Kudat dan Kota Belud serta kumpulan kebudayaan daripada Nusantara, Indonesia.

“Selain itu, penganugerahan Tokoh Regatta turut diadakan. Ini adalah pengiktirafan kepada individu yang telah memberi sumbangan yang besar dalam perkembangan budaya, tradisi dan sebagainya bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi nasional dan juga antarabangsa serta penglibatan dalam kerja-kerja amal yang dilakukan.

“Saya rasa ia adalah sesuatu pengisian baharu yang diperkenalkan pada tahun in.

“Inilah yang saya katakan tadi harus sentiasa ada pembaharuan dalam menganjurkan Regatta Lepa ini supaya sentiasa segar kerana penganjuran pesta ini sudah 29 tahun dan tahun depan ke-30 tahun, saya percaya pihak penganjur sudah ada memikirkan pengisian yang baharu,” katanya.

Joniston berkata demikian mewakili Menteri KePKAS, Datuk Christina Liew pada sidang media Regatta Lepa ke-29 di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Semporna merangkap Pengerusi Regatta Lepa Alexander Liew.

Menurut Joniston, Regatta Lepa kali ke-29 anjuran KePKAS dengan kerjasama Pejabat Daerah Semporna akan berlangsung dari 23 hingga 24 November 2024 di Padang Bandaran Semporna dan Dataran Regatta Lepa, Semporna dengan tema “Regatta Lepa: Lambang Perpaduan Masyarakat Madani”.

“Acara ini akan menampilkan pelbagai program menarik, termasuk Majlis Perasmian, “Sangom Maglami-lami,”Acara Akhir Sukan Laut, Perarakan Lepa Tradisi dan Lepa Berhias, serta Majlis Malam Penangguhan Regatta Lepa Semporna Kali Ke-28 Tahun 2023, dan banyak lagi.

“Regatta Lepa ialah acara tahunan yang diadakan di Semporna untuk meraikan kekayaan adat dan budaya suku kaum Bajau.

“Acara ini menarik ribuan pelancong dari dalam dan luar negara, menjadi satu platform penting untuk mempamerkan keunikan warisan budaya masyarakat Bajau Laut,” jelasnya.

Tambah beliau, objektif utama Regatta Lepa adalah melestarikan tradisi dan warisan budaya Bajau, termasuk memelihara kemahiran pembuatan bot tradisional Lepa-lepa yang diwarisi turun-temurun.

“Selain itu, acara ini turut bertujuan merancakkan ekonomi tempatan melalui pelancongan dan mengukuhkan reputasi Semporna sebagai destinasi budaya yang mempesonakan.

“Regatta Lepa merupakan salah satu warisan dan tarikan unik negeri Sabah yangterkenal di peringkat antarabangsa.

“Acara ini memainkan peranan penting sebagai pengikat budaya dan penyatu masyarakat, memperkuatkan identiti serta keharmonian di kalangan komuniti Bajau dan etnik lain,” ujarnya.

Beliau berharap acara ini akan menjadi titik tolak yang bermakna bagi perkembangan industri pelancongan Sabah, menjadikan Semporna bukan hanya dikenali dengan keindahan pulau-pulau tropika dan dunia lautnya yang memukau, tetapi juga sebagai pusat kebudayaan yang hidup dan bertenaga.

“Saya mengundang semua pihak, termasuk penggiat industri, komuniti setempat, dan pihak berkuasa, untuk terus berusaha dan bekerjasama bagi mencapai visi bersama ini.

“Matlamat kami adalah untuk mengukuhkan kedudukan Sabah, khususnya Semporna, sebagai destinasi pelancongan terkemuka yang dikenali di seluruh dunia,” katanya.

Pada hari pertama, pengunjung boleh menikmati pelbagai acara menarik seperti persembahan tarian kebudayaan, pertandingan pemilihan “Budjang Manis” dan “Lalla Dorogan”,persembahan Igal-igal, serta penampilan khas Ratu-Ratu Lepa bersama Ratu Cilik.

Selain itu, terdapat juga sketsa budaya masyarakat Bajau dan gerai jualan serta pameran yang mempamerkan produk tempatan.

Pada hari kedua, pengunjung boleh menyaksikan acara akhir sukan laut suku kaum Bajau, serta pertandingan dan perarakan Lepa Tradisi dan Lepa Berhias ke Dataran Regatta Lepa Semporna.

Penutupan acara akan diserikan dengan persembahan daripada artis tempatan danjemputan, pengumuman pemenang pertandingan, penyampaian hadiah, dan pertunjukan bunga api yang mengagumkan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengunjungi laman Facebook Pejabat Daerah Semporna atau Hello Sabah.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular