HomePendapatDilema Dalam Hidroelektrik Ulu Padas

Dilema Dalam Hidroelektrik Ulu Padas

Read Time:6 Minute, 34 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

1. Baru-baru ini, Gamuda Berhad mengumumkan telah menerima Surat Anugerah daripada Upper Padas Power Sdn Bhd bagi pelantikan sebagai Kontraktor Pembangunan Keseluruhan/ Total Development Contractor (TDC), untuk projek Hidroelektrik Ulu Padas di daerah Tenom dan Sipitang, Sabah.

2. Projek Hidroelektrik Ulu Padas yang berkapasiti 187.5 Megawatt (MW), akan melibatkan kos pembinaan sebanyak RM 3.048 billion. Ianya di jangka akan mula beroperasi menjelang Disember 2030.

3. Apabila mula beroperasi, Hidroelektrik Ulu Padas akan dapat meningkatkan kapasiti tenaga di Sabah sekitar 15%, dengan membekalkan sebanyak 1,052 GWh tenaga bersih setiap tahun. 

Di samping itu, ianya juga dapat membantu pencapaian sasaran Kerajaan Sabah untuk memiliki 35% Tenaga Boleh Diperbaharui menjelang tahun 2035.

4. Menurut pengumuman tersebut, projek pembinaan Hidroelektrik Ulu Padas itu akan di laksanakan secara usaha-sama melibatkan Gamuda dan Conlay Construction Sdn Bhd, dengan pegangan majoriti oleh Gamuda (75%) dan Conlay (25%).

5. Operasi Hidroelektrik Ulu Padas kelak akan di uruskan oleh Upper Padas Power Sdn Bhd (UPP), iaitu sebuah anak syarikat milik penuh UPP Holdings Sdn Bhd (UPPH). 

UPPH merupakan syarikat usaha-sama/ joint-venture (JV) yang melibatkan pegangan ekuiti tiga pihak: Gamuda (45%), Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (40%) dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd (15%).

6. Seterusnya, Upper Padas Power akan membekalkan elektrik kepada Sabah Electricity menerusi Power Purchase Agreement (PPA) selama 40 tahun. Sabah Electricity adalah organisasi tunggal yang membekalkan elektrik kepada pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

7. Secara keseluruhan, Gamuda memiliki kepentingan dan memperolehi keuntungan di dalam projek Hidroelektrik Ulu Padas di dua peringkat:

 pembinaan: sebagai Kontraktor Pembangunan Keseluruhan

 operasi: sebagai pemegang saham terbesar di dalam UPP Holdings Sdn Bhd (UPPH), yang memiliki 100% Upper Padas Power yang menguruskan Hidroelektrik Ulu Padas 

8. Untuk sekian lama, Sabah mempunyai keperluan terdesak untuk meningkatkan kapasiti tenaga elektrik. Antara lain, isu bekalan elektrik di Sabah berpunca dari margin rizab elektrik yang sangat rendah. Akibatnya, gangguan bekalan elektrik kerap-kali berlaku sehinggakan menjejas kesejahteraan hidup penduduk Sabah dan aktiviti ekonomi.

9. Di samping itu, Sabah Electricity pula berdepan dengan kedudukan kewangan yang sangat goyah, di mana model perniagaan sediada merugikan dan tidak mampan. 

Ketika ini, Sabah Electricity menanggung kerugian kerana purata kadar tarif elektrik yang di kenakan kepada pengguna (34.5 sen per kWh) adalah lebih rendah berbanding purata kadar tarif pembelian elektrik dari Pengeluar Tenaga Bebas/ Independent Power Producer (43.8 sen per kWh).

Independent Power Producer (IPP) menjana 80% bekalan elektrik, dan Sabah Electricity hanya 20%.

10. Oleh kerana itu, Sabah Electricity terpaksa bergantung kepada subsidi elektrik yang di sediakan oleh Kerajaan Malaysia untuk kelangsungan operasi. Jumlah subsidi elektrik ini adalah sangat besar mencecah hampir RM 900 juta setahun: RM 862 juta (2022), RM 866 juta (2024).

11. Jumlah subsidi elektrik ini menjadi bebanan besar kepada kewangan Kerajaan Malaysia, dan tidak boleh berpanjangan selama-lamanya mahupun meningkat dari tahap terkini.

Kerajaan Malaysia tidak memiliki ‘bottomless pit’ yang boleh terus menerus menyediakan subsidi elektrik kepada Sabah Electricity. 

12. Justeru itu, sebarang usaha untuk menangani isu bekalan elektrik di Sabah sewajarnya menepati beberapa kriteria utama, termasuklah:

 kos projek yang munasabah berasaskan ‘value-for-money’

 kadar tarif elektrik yang di kenakan oleh IPP kepada Sabah Electricity tidak melebihi kadar tarif elektrik yang di kenakan oleh Sabah Electricity kepada pengguna

 tempoh masa pelaksanaan projek tidak terlalu lama

13. Maka, adakah projek Hidroelektrik Ulu Padas menepati kriteria berkenaan? Persoalan ini boleh di teliti dengan membuat perbandingan bersama cadangan projek bekalan elektrik yang tersedia.  

14. Menurut maklumat industri, satu konsortium multi-nasional telah mengemukakan cadangan alternatif untuk pelaksanaan projek Hidroelektrik Ulu Padas kepada Sabah Energy Corporation.

15. Cadangan konsortium berkenaan melibatkan kadar tarif elektrik sekitar 24 sen per kWh yang di kenakan kepada Sabah Electricity, yang jelas lebih murah dan boleh menguntungkan Sabah Electricity. Tambahan lagi, cadangan berkenaan melibatkan pelaksanaan secara Build Operate Transfer (BOT) selama 30 tahun, dan di serahkan kepada Kerajaan Sabah dengan percuma selepas tamat tempoh konsesi.

16. Sebaliknya, di khabarkan kadar tarif elektrik yang di kenakan oleh Hidroelektrik Ulu Padas (Upper Padas Power) kepada Sabah Electricity adalah sekitar 40 sen per kWh, untuk tempoh masa konsesi projek selama 40 tahun. Ini sudah pasti akan merugikan Sabah Electricity, dan menambah bebanan subsidi elektrik. 

17. Secara purata, kadar tarif elektrik yang di kenakan kepada pengguna oleh Sabah Electricity adalah 34.5 sen per kWh. Ini bermakna sebarang kadar tarif melebihi 34.5 per kWh yang perlu di bayar oleh Sabah Electricity kepada mana-mana Independent Power Producer (IPP) sudah pasti akan merugikan Sabah Electricity. Ini akan terus memenjara Sabah Electricity di dalam lubang kerugian.

Siapakah yang akan menanggung kerugian ini? Tentulah rakyat Sabah!

18. Namun begitu, walaupun cadangan berkenaan menawarkan kadar tarif yang lebih rendah serta menguntungkan Sabah Electricity, ianya tidak di terima kerana Gamuda di khabarkan sudah pun ‘terpilih lebih awal’ untuk menerajui pelaksanaan Hidroelektrik Ulu Padas.  

19.  Pada masa yang sama, menurut maklumat industri, satu konsortium multi-nasional juga telah mengemukakan cadangan pembinaan infrastruktur Solar Berskala Besar/ Large Scale Solar (LSS) di Pantai Timur Sabah. 

20. Secara keseluruhan, cadangan projek LSS ini boleh di laksanakan dengan kos pembinaan yang lebih murah, dalam tempoh masa yang lebih singkat. Kadar tarif elektrik yang di kenakan juga lebih murah, dan boleh menguntungkan Sabah Electricity.

21. Maka, timbul persoalan kenapa projek Hidroelektrik Ulu Padas telah mendapat kelulusan pelaksanaan dari Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan di anugerahkan kepada Gamuda, walaupun ada cadangan alternatif yang jelas menawarkan lebih ‘value-for-money’ kepada rakyat Sabah.

22. Persoalan ini wajar mendapat perhatian serta penjelasan dari ECoS, selaras dengan dasar Malaysia MADANI yang menekankan ketelusan, kesejahteraan dan kemampanan.

23. Lebih-lebih lagi, apabila satu projek bekalan elektrik yang di umumkan baru-baru ini telah di landa kontroversi dengan dakwaan serius membabitkan ketelusan proses pelantikan syarikat kontraktor dan salah-laku rasuah.

24. Projek Sistem Simpanan Tenaga Bateri/ Battery Energy Storage System (BESS) di Lahad Datu bertujuan untuk meningkatkan margin rizab elektrik di Pantai Timur Sabah. Ianya merupakan projek BESS yang pertama di Malaysia dan terbesar di Asia Tenggara.

Projek BESS bernilai RM 645 juta ini telah di anugerahkan oleh Sabah Electricity kepada MSR Green Energy. 

25. Ada pihak telah mendakwa kos projek tersebut oleh MSR Green Energy adalah terlampau tinggi, melebihi hampir RM 140 juta berbanding pembida-pembida lain yang layak. MSR Green Energy turut di dakwa tidak memenuhi kelayakan minimum kerana tidak memiliki kepakaran teknikal, tiada pengalaman yang berkaitan serta kedudukan kewangan yang lemah. 

26. Selain kos pembinaan dan kadar tarif elektrik, faktor masa juga sangat penting untuk memberi kesejahteraan segera kepada rakyat Sabah yang telah mengharungi isu bekalan elektrik ini dari generasi ke generasi. Sudah terlalu lama rakyat Sabah menanti dengan penuh kesabaran untuk menikmati bekalan elektrik yang lebih sempurna. 

Rakyat Sabah deserve the best deal.

27. Tambahan lagi, penyelesaian segera isu bekalan elektrik dapat menyokong usaha kerajaan menarik pelaburan ke Sabah dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

28. Oleh kerana Hidroelektrik Ulu Padas hanya akan mula beroperasi menjelang Disember 2030, nampaknya rakyat Sabah terpaksa mengharungi isu bekalan elektrik untuk tempoh yang lama lagi. Dalam tempoh masa 6 tahun akan datang, sehingga Hidroelektrik Ulu Padas mula beroperasi, gangguan bekalan elektrik di jangka akan terus berlaku. 

Terutamanya di Pantai Timur Sabah yang berdepan dengan margin rizab elektrik negatif.

29. Menurut maklumat industri, sebagai satu jalan penyelesaian, Sabah Electricity telah mengguna-pakai generator diesel untuk menjana elektrik, pada kadar yang sangat mahal (RM 1.50 per kWh). Ini adalah hampir 250% lebih tinggi dari purata kadar tariff sediada yang di kenakan oleh IPP (43.8 sen per kWh).

Tetapi di khabarkan ini akan di berhentikan kerana kos yang mahal, dan tidak dapat di tampung oleh subsidi elektrik. 

30. Maka, apakah usaha penyelesaian oleh Sabah Electricity untuk mengurangkan gangguan bekalan elektrik dalam tempoh masa 6 tahun tersebut? Dan juga penyelesaian jangka masa panjang yang benar-benar menawarkan ‘value-for-money’ kepada rakyat Sabah.

31. The saga continues…

RELATED ARTICLES
EnglishLocal-englishPendapatUtama

An Inspiring Leadership that Celebrates and Reflects Sabah’s Values

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular