KUALA LUMPUR — Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini tampil membuat laporan polis berkaitan dengan video yang tular, yang mengandungi tuduhan ke atas Ketua Menteri Sabah serta berita viral yang melibatkan seorang bekas CEO yang dikatakan berkonspirasi dengan seorang individu bernama Dato’ Albert.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar, berkata tuduhan ini datang daripada seorang bekas kakitangan SMM yang menyebut adanya usaha menipu pihak pengurusan dan kakitangan serta dakwaan rasuah melibatkan beberapa wakil rakyat di Sabah.
Namun, individu yang memegang rakaman suara tersebut belum membuat laporan rasmi kepada SPRM, katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sri Petaling hari ini.
Menurut Zulkarnain, pihaknya bukanlah mahu mengulas isu ini, tetapi menyatakan pendirian menyokong tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang terlibat dalam rasuah.
Jelas Tuduhan yang mengaitkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dengan skandal dakwaan perlakuan rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu adalah fitnah.
Kata Zulkarnain lagi, beliau secara peribadi amat mengenali Hajiji walaupun tidak terlibat dengan mana-mana ahli parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, tuduhan yang menyatakan Hajiji menekan seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) berkaitan projek kepada kontraktor pilihan diyakini merupakan fitnah jelik dan jahat.
“Apa bukti dakwaan itu? Ia sekadar tuduhan.
“Saya harap polis siasat dan panggil bekas CEO ini kerana itu adalah tuduhan yang cukup melampau dan jelik kepada Hajiji,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkarnain turut membuat laporan polis berkenaan dua individu yang didakwa bersubahat untuk mendapatkan projek daripada Sabah Mineral Management.
“Bekas CEO yang tular dalam video tersebut turut membuat tuduhan ke atas Ketua Menteri dan kami berharap pihak polis menyiasat kebenaran berita yang ditularkan ini, sama ada wujud salah laku atau tidak di Sabah Mineral Management.”
Katanya, Kerajaan Negeri juga sedang melakukan audit terhadap kontraktor-kontraktor yang diberikan projek di SMM. “Kami melihat ada rangkaian hubungan dalam kes ini, maka kami tampil meminta bantuan pihak polis untuk menyiasat,” katanya.
Jelas Zulkarnain lagi, beliau turut akan membuat laporan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan meminta pihak berkuasa menyelesaikan kes ini dengan cepat agar tidak timbul fitnah dan kekeliruan.
“Esok, saya akan membuat satu laporan ke SPRM untuk menghantar dokumen berkaitan kes ini.
Kami berharap dokumen ini boleh membantu SPRM menyiasat sama ada wujud salah laku antara individu yang terlibat dalam dakwaan rasuah ini. Kami berharap SPRM dapat menyelesaikan siasatan ini secepat mungkin,” katanya.