HomeUtama"Mengapa melalui media, mengapa tidak lapor SPRM?" - Joniston

“Mengapa melalui media, mengapa tidak lapor SPRM?” – Joniston

Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai menyokong kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meminta agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan terdapat beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah terlibat dengan kes rasuah lesen projek.

“Yang Berhormat Pengerusi GRS dan juga Ketua Menteri (Hajiji) telah pun membuat kenyataan, elok kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan dan kerajaan negeri akan memberi kerjasama sepenuhnya.

“Saya fikir adalah wajar siasatan dijalankan. Malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengulas sama ada beliau (pemberi rasuah/memberi maklumat) perlu diberi perlindungan. Ia adalah persoalan apakah motif semua perkara itu?,” katanya ketika ditemui media selepas sidang media Regatta Lepa 2024 di sini, hari ini.

Sehubungan dengan itu, Joniston turut mempersoalkan mereka yang memberi maklumat mengenai dakwaan salah laku ADUN-ADUN berkenaan mengapa tidak dilaporkan terus kepada pihak SPRM.

“Jika mereka (ADUN) melakukan kesalahan dan jika anda yakin bahawa mereka melakukan kesalahan, mengapa perlu melalui media? Kenapa tak pergi terus lapor ke SPRM? Jika anda ingin mencuri rumah orang, adakah anda akan memberitahu pemiliknya, saya mahu mencuri rumah anda? Maksud saya, ini adalah cara saya melihatnya.

“Jadi kalau kita ikhlas dalam menyelesaikan isu seperti ini, bukannya pergi ke media. Jadi jika anda pergi ke media, ia menimbulkan persoalan,” tegasnya.

Joniston berpendapat isu yang timbul disebabkan kebimbangan pihak pembangkang terhadap reputasi kerajaan sekarang dan sokongan kepada GRS yang semakin meningkat untuk membangunkan negeri Sabah.

“kita semua tahu bahawa sokongan kepada GRS semakin meningkat. Ia semakin meningkat. Jadi, apa pun, kami biarkan.

“Saya fikir itu adalah untuk orang ramai yang membuat keputusan pada pilihanraya akan datang. Kerajaan kini berjalan dengan baik,” katanya.

Ditanya mengenai tindak balas GRS terhadap audio-audio dakwaan salah laku ADUN Sabah yang tular dan dikeluarkan secara berperingkat di media sosial, Joniston yang juga ADUN Kiulu berkata, ia memang mengganggu dan membiarkan pihak berkuasa menyiasat perkara itu.

“Jadi biarlah pihak berkuasa melihat semua ini. Kami hanya akan fokus pada kerja kami. Mengapa kita mesti terganggu dengan semua ini? Kerana fokus kita adalah untuk membawa perubahan kepada negeri ini.

“Fokus kita adalah untuk membangunkan negeri. Ini adalah gangguan. Tetapi seperti apa yang dikatakan oleh Ketua Menteri, serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

“Biarkan mereka menyiasat. Tetapi bagi kami, kami hanya akan memberi tumpuan kepada apa yang perlu kami lakukan untuk negeri. Untuk terus bekerja keras untuk negeri, untuk rakyat,’ tegas Joniston lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular