Kota Kinabalu: Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai perjanjian penyelidikan bersama Yun Fook Resources Sdn. Bhd. Yang bertujuan mengkaji kesan pengambilan susu segar terhadap indikator pertumbuhan dalam kalangan murid sekolah rendah di Kota Kinabalu.
Pada majlis menandatangani perjanjian tersebut, UMS diwakili Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, manakala Yun Fook Resources diwakili Pengarah Urusan, Profesor Adjung Datuk Yap Yun Fook.
Dengan tajuk kajian ‘Effects of Fresh Milk Supplementation on Growth Indicators among Primary School Pupils in Kota Kinabalu’, projek ini menyasarkan murid sekolah rendah yang terpilih akan mendapat bekalan susu segar berjenama ECO-YAP.
Penyelidikan ini dibiayai sepenuhnya oleh Yun Fook Resources Sdn. Bhd. dengan jumlah geran sebanyak RM80,820 yang diketuai oleh Pensyarah Kanan FSMP, ChM. Dr. Norliza Julmohammad bersama pasukan penyelidik, Dr. Khor Ban Hock, Dr. Norliyana Aris, dan Ts. Dr. Fan Hui Yin.
Kerjasama ini akan berlangsung selama setahun bermula bulan Januari 2025 dan diharapkan dapat memberikan impak positif kepada komuniti sekolah, terutamanya dari segi peningkatan kesedaran nutrisi dan kesihatan.
Selain itu, kajian ni merupakan salah satu CSR Yun Fook Resources Sdn. Bhd. sebagai obligasi kontrak pembekal Program Susu Sekolah (PSS) bagi 11 daerah di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Projek ini juga dijangka akan memberi manfaat kepada murid, ibu bapa, serta tenaga pengajar melalui program pemindahan ilmu berkaitan khasiat susu untuk kesihatan murid sekolah.
Selain itu, dapatan kajian ini dijangka dapat membantu dalam pembangunan program nutrisi sekolah yang lebih berkesan di masa hadapan.