Kota Kinabalu : Spekulasi berhubung Belanjawan Sabah 2025 yang dikatakan bakal menawarkan ‘gula-gula’ menjelang Pilhan Raya Negeri (PRN) tahun depan dilihat agak tersasar jauh.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Datuk Dr Ramzah Dambul berkata, belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun semalam masih berpaksi teguh kepada ekonomi yang baik.
“Disebabkan Sabah sekarang ini sedang menuju ambang pilihan raya, ramai yang bersangka-sangka bahawa Belanjawan Sabah 2025 mungkin bakal ditaburi ‘gula-gula’ politik. Mungkin sampai boleh menyebabkan hilang tumpuan kepada keperluan hakiki yang sebenar iaitu bajet yang membolehkan negeri ini terus membangun secara seimbang dan lestari.
“Tetapi nampaknya andaian dan spekulasi tentang gula-gula politik itu agak tersasar jauh. Kita lihat kepada asas pertimbangan, jika diteliti, belanjawan negeri 2025 konteksnya masih lagi berpaksi teguh pada praktis ekonomi yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai Belanjawan Sabah 2025 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menerusi aplikasi Tiktoknya di sini semalam.
Ramzah berkata, belanjawan itu disusun berdasarkan perkembangan ekonomi global, nasional dan juga tempatan.
Katanya, ekonomi dunia kini masih tumbuh secara sederhana dan ekonomi Malaysia dijangka akan berkembang pada tahun depan dimana sektornya akan berkembang sekitar 4.5 hingga 5.5 peratus.
Berdasarkan asas itu katanya, Sabah mengambil pendekatan selamat dengan mengekalkan tumpuan kepada tiga sektor utama yang paling produktif iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.
“Strategi ini saya fikir selari dengan inisiatif negeri sejak beberapa tahun lalu menerusi pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Ini juga mencerminkan kesinambungan polisi dan tata kelola yang saya fikir padu kerana kesinambungan ini akan menjamin ekosistem ekonomi domestik yang stabil dan konsisten.
“Berdasarkan rangka belanjawan pula, dua tonggak utama yang diangkat adalah pertumbuhan yang produktif dan agihan yang saksama. Saya fikir ini adalah merupakan tonggak yang penting terutama bagi negeri marginal seperti Sabah.
“Ini bermaksud fokus bajet ini bukan sekadar membesarkan kek ekonomi negeri tetapi juga untuk memastikan semua orang boleh merasa bahagian masing-masing secara saksama dan adil,”katanya.
Dalam pada itu, Ramzah berkata, sebanyak tiga tonggak pemboleh daya dipilih untuk memacu dua fokus penting iaitu pembangunan modal insan dan penambahbaikan infrastruktur selain kecekapan urus takdir.
“Maksudnya, bajet ini bukan sahaja ada stering dan juga roda iaitu yang dua pertama tadi tapi dia juga dilengkapi dengan tiga enjin turbo. Maksudnya dia ada matlamat dan dia ada pemacu,” katanya. – SABAH MEDIA