HomeUtamaDUN Sabah : Pelaksanaan ECRL dijadikan model cadangan Projek Keretapi Trans Borneo

DUN Sabah : Pelaksanaan ECRL dijadikan model cadangan Projek Keretapi Trans Borneo

Read Time:1 Minute, 38 Second

Kota Kinabalu : Pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Semenanjung  boleh dijadikan sebagai model bagi cadangan Projek Keretapi Trans Borneo yang menghubungkan negeri ini dengan Brunei dan Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ketiga-tiga wilayah itu perlu bekerjasama bagi pelaksanaan projek berkenaan selepas selesai kajian kemungkinan yang akan bermula bulan depan.

“Sabah akan mempertahankan haknya yang termaktub dalam perlembagaan berkaitan dengan urusan kereta api. Namun demikian, kita melihat kepada model pelaksanaan ECRL di Semenanjung yang mana jajarannya meliputi atau merentasi beberapa negeri dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

“Boleh kita katakan bahawa kita amat mengalu-alukan kajian ini dan setelah ia mendapat ‘outcome’ yang diinginkan, maka pihak Sarawak, Sabah dan negara Brunei Darussalam akan berbincang dengan lebih terperinci untuk pelaksanaan fizikal projek itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan berkaitan projek itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata melalui pelaksanaan kajian-kajian kemungkinan itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) menjadi Ahli Jawatankuasa Pemandu dan Ahli Jawatankuasa Teknikal.

“Keputusan Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan pembinaan fizikal Program Trans Borneo Railway itu adalah bergantung kepada hasil dapatan kebolehlaksanaan kajian kemungkinan itu serta Cadangan Model Pelaksanaan atau Model Kewangan kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Shahelmey berkata, kajian kemungkinan itu meliputi tiga skop iaitu, pertama menentukan jajaran yang sesuai untuk landasan dan sistem kereta api dengan mengambil kira aspek ekonomi, sosial dan kos.

Skop kedua, katanya ialah menentukan keseluruhan infrastruktur yang diperlukan di sepanjang laluan seperti lintasan rata, jejambat, stesen dan depoh.

“Manakala skop ketiga melaksanakan kajian kejuruteraan menyeluruh untuk memastikan sistem kereta api yang bakal dibina berteknologi terkini serta berdaya maju setanding sistem keretapi lain di seluruh dunia.

“Bagi jajaran di Sabah, katanya, selain laluan menghubungkan Sarawak dan Brunei melalui jajaran Beaufort – Sipitang – Lawas (Sarawak), tiga lagi jajaran turut dimasukkan iaitu Tanjung Aru – Kudat, Sandakan – Pitas – Kudat dan Tawau – Lahad Datu – Sandakan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular