HomeUtamaKBS Sabah fokus tingkat hala tuju perkasa sukan, atlet dan belia -...

KBS Sabah fokus tingkat hala tuju perkasa sukan, atlet dan belia – Fairuz

Read Time:2 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Belia dan Sukan (KBS) Sabah, Datuk Fairuz Renddan memberitahu bahawa kementeriannya komited dalam usaha untuk meningkatkan hala tuju pemerkasaan sukan, atlet dan golongan belia seluruh negeri Sabah.

Katanya, Belanjawan Negeri Sabah 2025 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun baru -baru ini telah memperuntukkan KBS Sabah dengan nilai sebanyak RM90.17 juta bagi perbekalan dan RM11.29 juta bagi tujuan pembangunan.

“Kita (KBS) yakin, nilai ini pasti mampu dimanfaatkan bagi tujuan dan hala tuju kementerian kita kerana sememangnya dari awal, semua kakitangan KBS sudah disarankan dan diajak untuk menghasilkan mutu kerja berkualiti dalam usaha untuk memperkasa bidang sukan dan atlet tempatan kita.

“Kita sedar, sebenarnya kita memiliki kekurangan dari segi infrastruktur terutamanya bagi atlet kita yang berada di kawasan luar daripada Kota Kinabalu atau jauh dari pekan utama, namun kekangan inilah yang kita sedang usahakan untuk diperbaiki dan ditambahbaik sikit demi sikit, mengikut kesediaan dan dana yang kita peroleh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, pada Selasa.

Menurut Fairuz, KBS Sabah turut berusaha keras dalam usaha untuk memberikan latihan dan merangka jadual para atlet agar misi menuju perlawanan sukan pada masa akan datang mampu membuahkan hasil yang membanggakan.

“Kita yakin para atlet kita, walaupun selesai sudah mewakili Sabah beraksi di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak baru-baru ini, namun mereka masih tetap giat dan gigih berlatih untuk sesi perlawanan akan datang.

“Bagi tujuan ini, KBS Sabah ingin nyatakan bahawa kita sentiasa menyokong dan akan berusaha sedaya upaya kita untuk memastikan segala aspek latihan dan keperluan latihan para atlet kita, dari semua sukan, untuk dipenuhi.

“Kita tahu, untuk tampil sebagai wakil negeri dan bersaing dengan pihak lawan darpada negeri lain sememangnya sukar namun kita yakin, jika kita mampu memberikan dan menyediakan segala keperluan atlet dalam bidag sukan mereka masing-masing, sebaiknya, pasti mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama Sabah, sekaligus mengibarkan bendera di persada sukan,” ujarnya.

Selain itu, Fairuz turut menggesa semua belia yang berpotensi dan mempunyai bakat dalam mana-mana jenis sukan, untuk mara ke hadapan dan tonjolkan bakat kepada semua kerana Sabah memerlukan atlet yang berkemahiran dan cekap bagi memastikan kejayaan dalam bidang sukan, serta mengharumkan nama Sabah.

“Saya percaya ramai belia kita diluar sana, ada bakat sukan tidak kira apa jenis sukan sekalipun, cuma barangkali peluang mereka terhad dan mereka kurang berani untuk tonjolkan bakat sukan mereka.

“Jangan bimbang, ayuh ke depan kerana negeri Sabah memerlukan anda untuk menggerakkan nadi sukan negeri kita yang tercinta ini,” katanya.

Fairuz turut menggesa pihak sekolah dan ibu bapa agar memberi semangat dan dorongan kepada anak-anak mereka jika mereka berpotensi dalam bidang sukan.

“Jangan pernah anggap kerjaya sebagai atlet yang bersukan ini tidak cerah masa depan, buang persepsi itu kerana zaman ini, kita boleh berjaya dalam apa jua yang kita usahakan, asalkan kita menanam azam dan tekad cemerlang dalam merealisasikan cita-cita itu.

“Para ibu bapa dan guru, jika ada anak-anak yang berkebolehan, tidak kira sukan apa sahaja, beri dorongan dan galakan agar mereka yakin serta berani untuk mempamerkan bakat sukan mereka.

“Siapa tahu hari ini anak kita yang bermain badminton di halaman rumah atau gelanggang sekolah, mampu menjadi wakil Sabah dalam SUKMA bermain badminton, dan membawa pulang kejayaan, saya yakin pasti ini mampu mengukir senyuman manis para ibu bapa dan guru,” jelas Fairuz.

RELATED ARTICLES
Utama

Ibu maut, anak parah dirempuh keretapi semasa lintas landasan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular