HomeIsu tempatanPesta Buku Borneo 2024 usaha awal suntik minat membaca masyarakat

Pesta Buku Borneo 2024 usaha awal suntik minat membaca masyarakat

Read Time:1 Minute, 45 Second


Kota Kinabalu : Kejayaan penganjuran Pesta Buku Borneo (PBB) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah (SICC) baru-baru ini menjadi usaha awal dalam menyuntik minat terhadap buku dan bahan bacaan lain dalam kalangan masyarakat khususnya di Borneo.

Dengan membawa tema ‘Borneo Membaca’, pesta buku yang dianjurkan buat kali keenam itu melibatkan 90 reruai yang disertai oleh penerbit universiti awam ahli Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Perpustakaan Negeri Sabah, Dewan Bahasa dan Pustaka, penerbit swasta, pengedar buku dan penerbit antarabangsa. 

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, adalah menjadi hasrat agar pesta buku sebegini akan menjadi antara aktiviti utama dalam kalangan masyarakat suatu masa nanti.

“Bagaimanapun, usaha memupuk minat membaca harus dilaksanakan terlebih dahulu, dan caranya adalah dengan menawarkan bahan bacaan bermutu, menarik, tawaran harga yang berpatutan dan pelbagai insentif tertentu.

“Langkah membudayakan amalan membaca tidak lain adalah untuk meningkatkan tahap pemikiran masyarakat kita agar setaraf dengan pemikiran masyarakat di negara maju yang sentiasa ke depan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program tersebut.

Beliau turut berharap agar pihak kerajaan dapat memberikan insentif sama ada dari segi prasarana, modal, dan seumpamanya kepada para penerbit tempatan bagi membolehkan penerbit dapat berkembang maju dan meluaskan pasaran dalam usaha menyokong budaya membaca.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim ketika mewakili Menteri KSTI, Datuk Dr. Mohd Arifin lMohd Arif merasmikan pesta buku tersebut berkata, penganjuran PBB adalah bertepatan dengan hasrat untuk memartabatkan amalan membaca dan berharap agar penganjuran PBB akan sentiasa dinantikan.

“Budaya membaca perlu disuburkan agar masyarakat tidak ketinggalan dalam arus maklumat dan pengetahuan semasa.

“Bagi meluaskan pasaran dan memudahkan akses pembelian buku, dicadangkan agar UMS dijadikan sebagai pusat edaran buku bagi penerbit dan pengedar di luar kawasan Sabah sebagai langkah membantu membudayakan minat membaca,” katanya.

Selain jualan buku, PBB 2024 yang dianjurkan UMS dengan Perpustakaan Negeri Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sebagai penganjur bersama turut menyediakan pelbagai aktiviti sepanjang lima hari penganjurannya, seperti bicara buku, bengkel, forum, kuiz penerbitan, pendigitalan buku, aktiviti mewarna, dan sesi bercerita. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

58 beg darah berjaya dikutip, bantu pesakit memerlukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular