KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi berjaya mengekalkan taraf Sijil Tanpa Teguran (STT) bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri 2023.
Pencapaian ini lebih membanggakan apabila untuk pertama kalinya STT diterima tanpa sebarang syarat atau komen penambahbaikan daripada Ketua Audit Negara.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata Sabah kini berada dalam kalangan lima negeri yang mencapai taraf prestasi ini.
“Kejayaan ini mengukuhkan reputasi Sabah sebagai negeri yang cemerlang dalam pengurusan kewangan,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di kementeriannya di Sidang DUN Sabah hari ini.
Mengulas lanjut, Masidi berkata Kerajaan Negeri Sabah terus mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan dengan hasil terkumpul sebanyak RM5.93 bilion, bersamaan 87.6 peratus daripada Anggaran Hasil Disemak 2024.
“Jumlah ini juga telah melampaui Anggaran Asal tahun 2024. Walaupun hasil pungutan sedikit menurun berbanding tahun sebelumnya, kerajaan berjaya mencatat lebihan kewangan sebanyak RM624.60 juta.
“ Lebihan ini mencerminkan pengurusan kewangan berhemah dan efektif dalam memastikan imbangan antara hasil dan perbelanjaan negeri dan menekankan bahawa kerajaan negeri tidak akan merasa selesa, sebaliknya bertekad untuk terus memperkukuh kedudukan kewangan negeri.
“Kerajaan Negeri Sabah komited untuk membawa pengurusan kewangan negeri ke tahap yang lebih gemilang melalui integriti dan ketelusan,” katanya.
Mengulas mengenai pertanyaan ADUN Sulabayan dan Tungku mengenai kebergantungan hasil negeri kepada petroleum dan kelapa sawit, Jelas Masidi kerajaan negeri telah mengambil langkah strategik untuk mempelbagaikan asas hasil.
“ Kerajaan telah memperkenalkan cukai jualan negeri kepada lima produk baharu sejak 2022, termasuk besi buruk, ammonia, urea, metanol, pasir silika/silika, dan biojisim kelapa sawit.
“ Setakat Oktober 2024, kesemua produk ini telah menyumbang sebanyak RM226.01 juta kepada hasil negeri.
“Kerajaan Sabah juga memandang serius potensi sektor lain seperti pelancongan, pertanian, teknologi hijau, dan ekonomi digital sebagai langkah jangka panjang untuk mengurangkan risiko pergantungan hasil kepada komoditi tertentu.
“Langkah-langkah ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan asas ekonomi yang kukuh dan mampan untuk rakyat Sabah,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam dan pihak yang terlibat atas dedikasi yang merealisasikan kejayaan itu.