HomeIsu tempatanSapawi pertahan jawatan Yang Dipertua USIA

Sapawi pertahan jawatan Yang Dipertua USIA

Read Time:1 Minute, 32 Second

Kota Kinabalu: Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad mengesahkan akan mempertahankan jawatannya pada mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu pada 6 hingga 7 Disember depan.

Katanya, keputusan itu bertujuan merealisasikan visi dan misinya menerusi Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024 ke arah mengembalikan kegemilangan USIA tercapai, seiring Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Saya mempertahankan jawatan Yang Dipertua USIA untuk memastikan pelaksanaan visi dan misi itu berjalan lancar bagi kepentingan ummah keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Pusat Pembangunan Komuniti (PPK) Wanita USIA Negeri Sabah di Tanjung Aru, disini baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Samad Jambri.

Sapawi mengulangi komitmennya meneruskan agenda pembugaran USIA yang mana sebahagian daripadanya sudah siap, manakala sebahagian lagi sedang dalam peringkat pelaksanaan.

Antara visi dan misi itu termasuk memperkasa, membugar dan menggilap imej USIA, mempelbagaikan aktiviti dakwah dan mengukuhkan pengurusan organisasi, aset dan kewangan.

Dalam pada itu, beliau berkata program jerayawara bagi memperjelaskan mengenai pencapaian Indek Prestasi Utama (KPI) menerusi pelan strategik itu, kini sedang berjalan mengikut zon yang ditetapkan.

Terbaru diadakan bagi Zon Kota Kinabalu, dan akan disusuli Zon Sandakan, Lahad Datu dan Tawau selepas ini.

“Menerusi program jerayawara ini, kita memberi penjelasan mengenai kemajuan dan prestasi pelaksanaan program USIA seperti digariskan dalam pelan strategik itu.

“Pelaksanaan pelan strategik ini memerlukan kesinambungan kepimpinan, ketelusan dan keikhlasan serta kesediaan bekerja keras sebagai satu pasukan.

“Ini penting supaya USIA dapat terus berperanan membangunkan masyarakat selari dengan Hala Tuju SMJ, yang bermaksud kita sentiasa relevan dengan keadaan semasa,” katanya.

Sapawi berkata pelan strategik yang diperkenalkannya itu cukup komprehensif sifatnya, merangkumi semua aspek termasuk pembangunan sumber manusia dari segi teknologi maklumat serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Katanya, semua perancangan strategik itu perlu diteruskan oleh siapapun yang diberikan amanah untuk menggalas kepemimpinan USIA, demi kepentingan ummah keseluruhannya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 100 pengunjung meriahkan Christmas @ KK Sentral Riverside Market

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular