HomeUtamaDUN Sabah: Kerajaan Sabah komited lindungi sempadan maritim di Laut China Selatan

DUN Sabah: Kerajaan Sabah komited lindungi sempadan maritim di Laut China Selatan

Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dan agensi keselamatan Persekutuan sentiasa komited dalam melindungi kedaulatan Sabah di kawasan sempadan maritim, termasuk di Laut China Selatan yang berhadapan dengan pelbagai ancaman.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata kerajaan negeri bersama-sama kerajaan Persekutuan mengutamakan pendekatan diplomatik dan berlandaskan undang-undang antarabangsa, seperti Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, untuk memastikan tindakan yang diambil tidak mencetuskan ketegangan.

“Keselamatan dan kedaulatan negara akan terus menjadi asas utama dalam menangani isu ini. Kami memantau rapat setiap perkembangan melalui kerjasama erat antara kementerian dan agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Persidangan DUN Sabah di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan diurus melalui platform seperti Jawatankuasa Bertindak Operasi Maritim (JBOM) dan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN). Strategi ini melibatkan pendekatan “whole-of-government” bagi memastikan tindakan bersepadu serta penggunaan optimum sumber dan aset kerajaan.

“Di peringkat lapangan, TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dan APMM meneruskan rondaan berkala dan operasi strategik. Kehadiran aset udara dan maritim negara di kawasan sensitif ini bertujuan mempertahankan kedaulatan negara serta melindungi aktiviti ekonomi seperti eksplorasi hidrokarbon.

“Operasi strategik ini turut melibatkan agensi negeri seperti Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Jabatan Perikanan Sabah, dan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, yang diperkuatkan setiap tahun melalui operasi bersepadu,” jelasnya.

Dalam isu pencerobohan, beliau menjelaskan bahawa Kementerian Luar Negeri (KLN) bersama kerajaan negeri sentiasa mengemukakan bantahan diplomatik terhadap negara-negara yang melanggar perairan Malaysia.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara,” tegasnya.

Justeru, beliau turut mengingatkan bahawa sebarang ketegangan di Laut China Selatan boleh memberikan implikasi besar, bukan sahaja terhadap keselamatan negara, tetapi juga ekonomi negeri dan negara.

“Kerajaan Negeri Sabah akan terus bekerjasama erat dengan agensi keselamatan Persekutuan untuk memastikan keselamatan sempadan Sabah sentiasa terjamin dan kedaulatan negara dipertahankan,” tambah beliau lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan tahap waspada di Sabah, Labuan hari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular