Kota Kinabalu: Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) digesa untuk lebih aktif melaksanakan program kemasyarakatan khususnya yang berbentuk ilmiah.
Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Darau, Datuk Mohamed Razali Razi berkata, usaha itu mampu membantu menjana ekonomi masyarakat setempat yang tidak hanya menumpukan aktiviti politik semata-mata.
“Saya minta ahli Beliawanis khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau ini untuk melaksanakan program bukan hanya kepada politik tapi turut melaksanakan aktiviti berbentuk ilmiah.
“Kita sentiasa menekankan kesedaran berpolitik dalam kalangan golongan muda, ini penting. Kita sentiasa terbuka untuk mereka kerana mereka adalah pelapis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Perasmian Penutupan Bengkel Gubahan Tuala, di sini hari ini.
Razali berkata, pihaknya turut mengajak para belia untuk bersama-sama menentukan hala tuju politik dan bukan hanya pandai berpolitik di media sosial.
Katanya, golongan muda penting di kawasan Darau kerana mereka merupakan majoriti kepada penduduk di kawasan itu.
“Oleh itu, kita akan berusaha dengan lebih gigih untuk melakukan kempen menambahkan keahlian Gagasan Rakyat di Darau, bukan sahaja dilakukan oleh Beliawanis tetapi juga Pemuda.
“Kita faham golongan muda, kesedaran berpolitik mereka adalah kurang, jadi kita mengajak mereka untuk bersama-sama merasai apa realiti politik sebenarnya,” katanya.
Katanya, platform yang sesuai untuk memulakan hasrat berkenaan adalah bersama-sama dengan Gagasan Rakyat. – SABAH MEDIA