HomeUtamaHajiji iktiraf peranan wanita dalam pembangunan negeri Sabah - Azizah

Hajiji iktiraf peranan wanita dalam pembangunan negeri Sabah – Azizah

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa melibatkan wanita dalam apa jua bentuk inisiatif ke arah pembangunan negeri Sabah yang berdaya saing, berdaya maju dan mampan.

Presiden Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata sebagai seorang wanita beliau amat berterima kasih kepada Datuk Hajiji Noor kerana Belanjawan Sabah 2025 telah mengetengahkan tujuh perkara meningkatkan peranan wanita di Sabah dalam peningkatan taraf hidup dan pemerkasaan wanita sekaligus penyumbang kepada pembangunan negeri.

“Tujuh perkara itu antaranya Program Pembangunan Wanita melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) untuk pelbagai program operasi dan pelaksanaan, Program Kredit Mikro oleh Yayasan Usaha Maju (YUM), Program Keusahawanan Wanita Muda (Perbadanan Pinjaman Sabah dan IDS), Komitmen peningkatan Wanita dalam Pembuat Keputusan, Pembangunan Usahawan melalui IKS dan Program Kesejahteraan Wanita dan Skim-Skim Bantuan (Ibu Tunggal dan Warga Emas).

“Secara keseluruhan program-program yang diperuntukkan dalam Bajet Negeri Sabah 2025 khusus untuk Wanita memainkan peranan yang sangat penting untuk meningkatkan peranan Wanita di Sabah dalam peningkatan taraf hidup, pemerkasaan Wanita sekaligus penyumbang kepada pembangunan negeri dan mengurangkan jurang gender bagi memastikan peluang yang adil bagi semua,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Menjunjung Kasih bersama isteri TYT Toh Puan Norlidah R.M. Jasni di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Majlis itu khusus untuk meraikan Toh Puan Norlidah selaku Penaung Perkumpulan Perempuan Sabah.

Hadir sama Naib Presiden Annie Lourdes, Setiausaha Agung, Mariayati Kastari, Bendahari Agung, Norly Abdullah, Penolong Setiausaha Agung, Siti Harinah Mohd Dun serta ahli jawatankuasa PPS.

Dalam majlis tersebut turut diraikan yang bersara dari PPS terdiri mantan Naib Presiden, Nurliah Abdul Jalil, mantan Bendahari Agung, Noraini Damsik, ahli jawatankuasa Rokayah Salleh dan Datuk Seri Salmah Abdul Rahman.

Menurut Azizah beliau berkeyakinan apabila wanita diberikan ruang, peluang dan sokongan yang sewajarnya, wanita bukan sahaja dapat membina kehidupan yang lebih baik untuk diri dan keluarga, tetapi juga boleh menjadi tunjang kepada pembangunan negeri.

“Saya berharap usaha mencapai 30% penyertaan wanita dalam peringkat pembuat keputusan akan dapat direalisasikan. Saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sabah atas inisiatif dan kesungguhan dalam pembelaan terhadap kita wanita di Negeri Sabah ini.

“Semoga Belanjawan Sabah 2025 akan menjadi titik-tolak untuk masa depan yang lebih cerah dan makmur bagi kita wanita di negeri Sabah yang tercinta ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah dijangka alami hujan berterusan mulai Sabtu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular