Kuala Lumpur : Sabah FC diingatkan tidak mendabik dada selepas memiliki kelebihan empat gol menjelang perlawanan pusingan kedua menentang PT Athletic FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.
Pengendali interim, Alto Linus berkata, situasi berbeza apabila berlakunya perlawanan timbal balas berikutan beberapa pemain utama Sabah FC tidak dapat beraksi pada aksi kedua.
Katanya, Sabah FC tidak boleh mengambil mudah malah semua pemain perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan penting ini.
“Jika memandang mudah keupayaan PT Athletic, Mungkin sesuatu boleh berlaku apabila hilang tumpuan pada perlawanan nanti.
“Sudah tiba masanya untuk kita beri peluang beberapa pemain lain yang jarang diturunkan berikutan beberapa pemain mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Alto berkata, menjelang perlawanan esok terdapat sedikit pertukaran mungkin berlaku bagi memastikan Sabah FC dapat melangkah ke perlawanan seterusnya.
“Kita akan memikirkan perlawanan seterusnya berikutan ini merupakan peluang untuk memberikan motivasi kepada seluruh pasukan Sabah FC.
“Selepas ini, kita akan menghadapi perlawanan Liga Super sudah tentu semua pemain bersiap sedia sekali gus mengelak mengalami kecederaan pada perlawanan esok,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC