Kota Kinabalu : Penganjuran Minggu Tanpa Sampah di Kampung Tanjung Aru Lama di sini merupakan satu projek komuniti yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan rasa tanggungjawab penduduk setempat khususnya penduduk Kampung Tanjung Aru Lama terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.
Program ini dianjurkan oleh pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan sokongan penaja utama, MyStarfish Foundation.
Majlis perasmian telah disempurnakan Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Mohd Reduan Datuk Aklee.
Wakil dari Jabatan Urusan Sisa Pepejal Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jecky Jarimal menyatakan bahawa program ini berupaya memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan penduduk Kampung Tanjung Aru Lama dan Baru.
“Kami dari DBKK akan terus menyokong program seperti ini, sama ada dianjurkan oleh UMS mahupun pihak lain pada masa akan datang. Teruskan usaha ini kerana ia adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Selain itu, Ketua Badan Bukan Kerajaan (NGO) Trash Hero Kota Kinabalu, Zurainee Kula memuji inisiatif yang dianjurkan oleh UMS dan menyatakan bahawa program ini amat relevan dengan keadaan semasa.
“Inisiatif seperti ini dapat menyebarkan kesedaran kepada masyarakat, terutamanya kepada penduduk kampung. Program ini patut dicontohi oleh komuniti lain,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh rakan-rakan penganjur, termasuk Komuniti Kampung Tanjung Aru Lama, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Kota Kinabalu, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Shan Tao, Sabah Environmental Protection Association (SEPA), Trash Hero, dan To Earth with Love.