Kota Kinabalu: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) diminta untuk memantau dengan teliti pemasangan menara telekomunikasi di bawah fasa pertama projek Rangkaian Digital Nasional (JENDELA) di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, fasa kedua pelaksanaan projek JENDELA akan dilancarkan tahun depan namun prestasi kontraktor masih kurang memuaskan.
Katanya, berdasarkan rekod Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), setakat ini hanya 217 daripada 382 menara atau 57 peratus di bawah fasa pertama JENDELA telah siap di Sabah.
“Daripada 217 menara yang siap, hanya 63 peratus yang beroperasi sepenuhnya dan KSTI bersama MCMC perlu memastikan kerja-kerja disiapkan mengikut jadual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke KSTI Sabah di sini hari ini
Hajiji turut memberi amaran bahawa Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika tiada peningkatan dalam prestasi projek berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut dimaklumkan oleh Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Hanafiah Mohd Kassim mengenai usaha untuk mengurangkan pengangguran melalui latihan berdasarkan penempatan kerja serta menarik lebih ramai pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Saya mahu kementerian memberi tumpuan kepada STEM selaras dengan permintaan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).
“Kita tidak mahu ketinggalan, oleh itu kementerian perlu memainkan peranannya sebagai peneraju utama sains dan teknologi negeri,” katanya.
Hadir dalam taklimat tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif, Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong. – SABAH MEDIA