PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memuji kekuatan dan semangat solidariti rakyat Malaysia dalam menghadapi bencana banjir yang telah menjejaskan ratusan ribu penduduk di beberapa negeri.
Semasa lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Menteri Besar Terengganu, beliau melahirkan rasa kagum terhadap kesabaran mangsa banjir, termasuk mereka yang terpaksa meninggalkan rumah.
“Tidak ada yang mengeluh, walaupun mereka menghadapi kesukaran. Mangsa banjir tetap optimis, menyatakan ‘nanti air surut, kita balik.’ Inilah kekuatan rakyat Malaysia,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.
Beliau turut memuji usaha pegawai kesihatan dan penjaga yang memastikan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak di PPS tetap terpelihara. Menurut laporan terkini, lebih 153,000 mangsa banjir masih berada di PPS di seluruh negara.
Dalam pada itu, Kata Perdana Menteri, Malaysia tutut mendapat pengiktirafan di peringkat Antarabangsa
Katanya Malaysia kini semakin dikenali di peringkat antarabangsa sebagai negara yang berintegriti dan progresif. Beliau berkongsi pengalamannya di persidangan APEC di Lima dan Rio de Janeiro, di mana beberapa pemimpin dunia, termasuk Perdana Menteri United Kingdom, Itali, dan Belanda, menunjukkan minat untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia.
Presiden Peru, katanya, turut mengiktiraf kejayaan Malaysia dalam memerangi rasuah dan meminta pengalaman daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Tambahan pula, Menteri Datuk Seri Azalina Othman dilantik sebagai Pengerusi Akademi Antirasuah Dunia, suatu pengiktirafan besar kepada negara.
Tambah Anwar lagi, Syarikat Malaysia juga turut mendapat peluang pelaburan yang antaranya termasuk peluang besar yang diperoleh syarikat seperti PETRONAS dan Yinson di Brazil dan Mesir. Presiden Brazil, Lula da Silva, memberikan sokongan penuh kepada Malaysia dalam pelaburan sektor tenaga, termasuk projek solar dan kapal tenaga elektrik terbesar.
“Kelulusan seperti ini membuktikan keyakinan mereka terhadap kemampuan syarikat Malaysia,” katanya.
Menyentuh mengenai pelaksanaan dan reformasi, Perdana Menteri turut menekankan pentingnya tindakan susulan dalam memastikan pelaburan dan projek pembangunan membawa hasil. Beliau mengucapkan tahniah kepada penjawat awam atas kenaikan gaji di bawah Sistem Saraan Awam Perpaduan (SSAP) yang baru dilaksanakan dan mengingatkan mereka untuk terus meningkatkan prestasi.
“Rakyat mengharapkan sesuatu yang lebih baik. Oleh itu, prestasi perkhidmatan awam mesti dipertingkatkan,” katanya.
Kecemerlangan Sebagai Prinsip Utama Anwar mengakhiri ucapannya dengan menyeru penjawat awam dan rakyat Malaysia untuk mengamalkan prinsip kecemerlangan dalam amal, selaras dengan nilai-nilai Islam. “Keupayaan manusia sentiasa boleh ditingkatkan untuk mencapai hasil yang lebih baik,” katanya.
Dengan semangat solidariti yang tinggi dan pengiktirafan antarabangsa, Perdana Menteri optimis Malaysia mampu mengharungi cabaran semasa dan melangkah ke masa depan dengan lebih gemilang.