HomeUtamaDBKK, MCMC kerjasama pacu Kota Kinabalu menjadi bandar raya pintar

DBKK, MCMC kerjasama pacu Kota Kinabalu menjadi bandar raya pintar

Read Time:2 Minute, 7 Second

Kota Kinabalu : Kerjasama antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memacu Kota Kinabalu ke arah menjadi sebuah bandar raya pintar, lestari, dan maju sekali gus yang dapat bersaing di peringkat global.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, sebagai ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu bukan sekadar pusat pentadbiran tetapi juga pusat ekonomi, pelancongan, dan inovasi teknologi yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Sabah.

Katanya, kerjasama antara DBKK dan MCMC menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini adalah langkah besar ke arah merealisasikan visi Sabah sebagai negeri yang memacu pembangunan mampan melalui digitalisasi.

“Kota Kinabalu akan menjadi model bandar raya pintar yang memperlihatkan bagaimana teknologi dapat memperkasa kehidupan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

“Melalui MoU ini, pelaksanaan beberapa projek berskala besar akan dilakukan antaranya kesalinghubungan digital yang menyeluruh, aspek keselamatan awam dan infrastruktur pintar seperti pemasangan kamera litar tertutup atau CCTV, digitalisasi pentadbiran dan perkhidmatan bagi menjadikan pentadbiran lebih cekap, mengurangkan birokrasi serta budaya digital dan ekonomi tanpa tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara DBKK dan MCMC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah,

Hajiji berkata, beliau percaya MoU itu adalah permulaan kepada era baharu pembangunan Sabah, dengan Kota Kinabalu akan menjadi contoh kepada bandar- bandar lain di negeri ini.

“Usaha ini bukan sahaja memberi impak kepada bandar raya, tetapi juga kepada seluruh Sabah. Dengan menjadikan Kota Kinabalu sebagai hab digital dan inovasi, kita membuka peluang untuk kolaborasi pelbagai sektor termasuk pelancongan, pendidikan, dan perniagaan.

“Ini akan menarik lebih banyak pelaburan asing, mencipta peluang pekerjaan, dan meningkatkan taraf hidup rakyat kita,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, sebanyak RM41.75 juta diperuntukkan kepada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Sabah Skills and Training Centre (SSTC) dan Sabah Creative Economy and Innovation Center bagi melaksanakan kursus penguasaan bahasa, latihan kemahiran sains, teknologi dan inovasi, pada tahun depan.

“Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri untuk memberi penekanan kepada agenda pendigitalan termasuk kemahiran sains, teknologi dan inovasi. Kerajaan negeri juga menyediakan sebanyak RM10.5 juta juga sebagai usaha pendigitalan Perkhidmatan Awam Negeri, pada tahun depan.

“Ini termasuklah sistem pengurusan sumber manusia (SM2), peningkatan Portal dan Perkhidmatan Digital Sabah serta inisiatif tambahan lain yang akan menyokong transformasi pendigitalan sektor awam

“Dalam usaha meningkatkan capaian liputan internet di seluruh negeri, kerajaan negeri merancang untuk memasang kemudahan internet teknologi Starlink di 300 lokasi di seluruh Sabah yang masih belum mendapat liputan internet, pada tahun depan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Gesaan Ketua Pemuda Umno Sabah Tidak berasas, tiada keperluan Ketua Menteri...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular